MENTERI Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menyatakan dalam menetapkan gaji minimum, kajian semula yang dilaksanakan oleh Majlis Perundingan Gaji Negara akan melihat indikator-indikator sosioekonomi yang digunapakai dalam formula penetapan gaji minimum berdasarkan formula yang meliputi kriteria asas dan kriteria pelarasan.
“Kriteria asas terdiri daripada Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang menentukan keperluan asas pekerja dan keluarga pekerja dan penengah gaji yang merujuk kepada keupayaan majikan membayar gaji pekerja.
“Manakala, kriteria pelarasan terdiri daripada pertumbuhan produktiviti buruh yang menyelaraskan peningkatan gaji dengan pertumbuhan produktiviti buruh, perubahan indeks harga pengguna yang mencerminkan perubahan kos sarah hidup (inflasi) dan kadar pengangguran bagi memastikan kenaikan gaji tidak menjejaskan keupayaan pasaran untuk mewujudkan dan mengekalkan peluang pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Datuk Seri Hishamuddin Hussein (BN-Sembrong) yang bertanya mengenai keupayaan mengikut sektor perindustrian dalam melaksanakan kadar gaji minimum memandangkan Perdana Menteri telah menggalakkan sektor swasta mencontohi Khazanah Nasional Berhad dengan menetapkan gaji minimum kepada pekerja sebanyak RM3,000 sebulan semasa Majlis Sambutan Ulang tahun ke-30 Khazanah Nasional di MITEC.
Ujar Steven Sim, selain formula gaji minimum, MPGN turut menggunakan pendekatan seimbang (balanced approach) dengan mengambil kira kepentingan pihak majikan, pekerja dan kerajaan dalam penetapan gaji minimum.
“Pendekatan sebegini penting agar majikan mampu melaksanakan kadar gaji minimum yang baharu dan pekerja dapat mengekalkan pekerjaan.
“Di samping gaji minimum, Kementerian Sumber Manusia juga akan menerbitkan garis panduan gaji permulaan bagi semua sektor pekerjaan untuk rujukan pekerja.
“Umpamanya, gaji permulaan Juruteknik Industri dan Pengeluaran (RM2,290), Jurutera Mekanikal (RM3,380) dan Profesional Pereka Kandungan Kreatif (RM2,985),” katanya.
Menurut Steven Sim, berdasarkan seksyen 2 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732], gaji minimum bermaksud gaji pokok yang akan ditetapkan atau sebagaimana yang ditetapkan di bawah Perintah Gaji Minimum selaras dengan seksyen 23 Akta 732.
“Melalui pengumuman Bajet 2025, Kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.
“Kerajaan juga memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM 1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh enam bulan iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025,” katanya.
Ujar beliau, Dasar gaji minimum dilaksanakan sebagai gaji lantai (floor wages) bagi pekerja kategori terendah dalam pasaran buruh dan bertujuan untuk memenuhi keperluan asas pekerja.
“Namun begitu, majikan dan pekerja boleh berunding bagi menetapkan kadar gaji berdasarkan kelayakan dan kemahiran yang dimiliki oleh pekerja,” katanya. – WILAYAHKU