Berita

Majlis APC‚ penyampaian biasiswa YWP: Pelajar luah rasa terharu

ZALIHA (tengah) sejurus menyampaikan anugerah dan biasiswa kepada pelajar terlibat.
- Diterbit 11 November 2024 7:18 PM MYT

RATA-RATA pelajar yang menerima Anugerah Pelajar Cemerlang (APC) dan biasiswa Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) pada majlis APC baru-baru ini menyifatkan pemberian tersebut dapat meringankan beban kewangan ibu bapa mereka yang tergolong dalam kalangan B40.

Salah seorang penerima APC bagi kategori orang kurang upaya (OKU), Akmal Mohd Radzi, 18, yang meraih keputusan cemerlang pada SPM tahun lalu dengan memperoleh Keputusan 6A, berkata dia berterima kasih di atas anugerah diberikan.

“Wang tunai ini bolehlah saya gunakan untuk perbelanjaan seharian di mana saya kini menyambung tingkatan enam di Sekolah St John Institution.

“Sedikit sebanyak dapatlah membantu meringankan beban ibu bapa memandangkan saya mempunyai lapan adik-beradik dan saya merupakan anak ketiga,” kata remaja yang bercita-cita menjadi seorang guru itu.

Bagi pelajar tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Sentul Utama, Mohd Najmi Hakimi Mohd Azmi yang menerima Skim Biasiswa Sekolah Menengah, dia amat berterima kasih kepada YWP kerana wang berkenaan digunakan untuk membiayai yuran kelas tambahan.

“Saya menerima biasiswa YWP sejak dari tingkatan satu sehingga sekarang. Memandangkan hanya ayah saja yang bekerja, jadi biasiswa ini saya gunakan untuk membiayai yuran kelas tambahan,” katanya.

Sementara itu, bagi Jasreen Deep Kaur, 20, yang kini menuntut di Univeriti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang Bahasa dan Linguistik Inggeris, dia menggunakan wang yang diperolehi kerana mencatat keputusan cemerlang dalam STPM tahun lalu untuk membeli pakaian Deepavali.

Terdahulu, majlis yang disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengerusi YWP, Dr Zaliha Mustafa meraikan 131 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang di dalam Sijil Pelajar Malaysia (SPM), 150 pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia dan 19 kategori OKU SPM (pembelajaran, penglihatan, pendengaran dan fizik).

Selain daripada APC, turut diadakan sesi penyerahan Skim Biasiswa Institusi Pengajian Tinggai Awam (IPTA), Skim Bantuan Awal Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Skim Biasiswa Sekolah Menengah.

Seramai 300 pelajar yang terdiri daripada anak-anak Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diraikan pada majlis yang turut mendapat kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas