Berita

Majikan perlu beri alasan kukuh jika tidak benar pekerja sertai PLKN3. 0

- Diterbit 8 Februari 2025 3:39 PM MYT

PIHAK majikan perlu memberi justifikasi yang kukuh mengapa mereka tidak memberi pelepasan kepada pekerja untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara 3.0.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Mejar Jeneral Datuk Ya’cob Samiran berkata, dari segi pemilihan pelatih, siri 1 adalah secara sukarela manakala siri 2 dan seterusnya adalah pemilihan bersyarat.

“Mereka yang sedang bekerja, perlu mendapat kebenaran, jika majikan tidak membenarkan pekerja mereka menyertainya, mungkin mekanisme atau proses lain akan menyusul.

“Sebagai pelatih mereka bertanggungjawab dan terikat dengan Akta Latihan Khidmat Negara (AKTA 628).

“Mereka perlu hadir dan jika mempunyai halangan dan masalah tertentu, boleh memohon dengan membuat penangguhan dan sebagainya,” ujar beliau pada sidang media Latihan Menembak Senjata Ringan di Lapang Sasar Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Terdahulu, seramai 116 pelatih PLKN menjalani latihan menembak yang berlangsung selama dua hari.

Tambah Ya’cob pelatih diberi pendedahan latihan asas ketenteraan untuk menembak dengan tepat dan betul menggunakan senjata M16, yang merupakan senjata asas untuk melatih askar wataniah.

“Pada peringkat pertama, mereka diberi peluang latihan melaras senjata terlebih dahulu kemudian mereka akan diberi peluang untuk menembak secara individu tanpa diberi panduan oleh jurulatih dan saya yakin ia memberi pengalaman baharu kepada pelatih.

“Selain diberi teknik menembak, mereka juga diajar cara pengurusan senjata, survival, pandu arah, aktiviti jasmani serta aktiviti dalam kelas,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas