Utama

MAIWP taja 50 pelajar B40 sertai SARAS

PERKONGSIAN daripada Profesor Dr Nidhal Guessoum ketika SARAS yang diadakan secara maya. PERKONGSIAN daripada Profesor Dr Nidhal Guessoum ketika SARAS yang diadakan secara maya.
- Diterbit 23 September 2021 5:15 AM MYT

MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui Persatuan Jurufalak Syarie (JUFAS) menyediakan bantuan zakat khas kepada 50 pelajar Universiti Awam (UA) di kalangan keluarga B40 bagi menyertai Seminar Falak Nusantara (SARAS).

Pengerusi JUFAS, Dr Mohd Saiful Anwar Mohd Nawawi berkata, dengan bantuan tajaan yuran penyertaan dari MAIWP itu membolehkan pelajar dapat menyertai satu program berimpak tinggi dan meluaskan ufuk pemikiran pelajar dalam bidang falak/astronomi.

“Perkongsian dimensi yang pelbagai dalam ilmu falak/astronomi dari tokoh-tokoh seperti YDH Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan Perak Datuk Dr Afifi al-Akiti (Universiti Oxford), Profesor Dr Nidhal Guessoum (Profesor, Universiti of Sharjah-Amerika, UAE),  Profesor Datuk Dr Mohd Zambri Zainuddin (Universiti Malaya).

“Tokoh-tokoh dari Jepun, Turki, Indonesia mahupun tempatan telah membuka ufuk minda yang lebih luas dalam bidang falak/astronomi kepada peserta,” katanya.

Siti Syazwani Mustafar, pelajar jurusan Syariah (Astronomi Islam), Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya berkata SARAS membantu melihat dimensi baharu perkembangan falak/astronomi.

“SARAS ini adalah peluang bagi saya melihat dimensi baharu perkembangan falak/astronomi yang terkini. SARAS telah memperlihatkan wajah ilmu falak/astronomi di dunia yang boleh kita ambil contoh dan teladani seperti kesan perkembangan teknologi IR 4.0 kepada perkembangan ilmu falak/astronomi di negara-negara maju.

“Banyak lagi peluang yang boleh diambil untuk mengangkat bidang keilmuan ini di Malaysia,” tambahnya yang merupakan salah seorang pelajar yang ditaja oleh MAIWP.

Perasmian Pembukaan telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Idris Ahmad. Manakala Majlis Perasmian Penutupan telah dirasmikan oleh Datuk Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak.

Program anjuran pelbagai agensi seperti Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN), Universiti Malaya(UM),Persatuan Jurufalak Syarie (JUFAS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Jabatan Mufti Negeri Sembilan (JMNS), Jabatan Mufti Selangor (JMS), dan Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk), telah berlangsung secara maya dan menarik minat lebih 300 peserta dari negara-negara di rantau asia tenggara. -WILAYAHKU- DIANA AMIR

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas