Berita

MAIWP lancar Laman Agro Hidroponik, bantu asnaf di Labuan

Mohd Nizam (tengah) berkesempatan meninjau hasil tanaman sayuran yang diusahakan oleh salah seorang asnaf di Laman Hidroponik MAIWP di Kampung Sungai Buton.
- Diterbit 1 Disember 2023 10:36 AM MYT

MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kini tampil lagi membantu golongan asnaf di pulau ini dalam menjana pendapatan menerusi Program Laman Agro Hidroponik.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Nizam Yahya berkata, inisiatif itu melibatkan seramai enam orang asnaf tani yang diselaras dan dipantau secara bersama oleh MAIWP dan Pertubuhan Peladang Kawasan Selatan Wilayah Persekutuan Labuan.

Katanya, MAIWP Labuan telah membelanjakan RM360,000 bagi tujuan pembangunan dan pengurusan kesemua enam buah rumah hijau hidroponik yang ada pada ketika ini.

“Pembinaan rumah hijau hidroponik ini dilengkapi dengan sistem hidroponik yang meliputi peralatan sistem perpaipan, tangki air, baja, rak/meja, tray semaian, pendawaian, benih semaian, hidroponik pot dan pam air elektrik.

“Saya mengharapkan dengan terlaksananya projek ini dapat melahirkan asnaf yang mampu menjana pendapatan sendiri seterusnya konsep transformasi zakat sara diri kepada zakat produktif dapat dilaksanakan,” katanya kepada pemberita semasa merasmikan Laman Hidroponik MAIWP di Kampung Sungai Buton, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Labuan Catherina Edward, Pengarah Jabatan Pertanian Marysia Modingin dan Pengurus MAIWP Labuan Md Fadzli Md Saad.

Tambah beliau, dengan adanya projek Laman Hidroponik dan Laman Cendawan itu, pihaknya akan terus memperkasakan bidang pertanian dan penternakan secara holistik seiring dengan masalah krisis pembekalan bahan mentah khususnya di Labuan.

“Kita harap program ini bukan sahaja boleh dinikmati oleh asnaf dan keluarga dari sudut mikroekonomi, malah impak makroekonomi seperti peningkatan sembilan pertumbuhan ekonomi negara dan pengurangan kadar pengangguran dapat dikurangkan,” jelasnya. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas