Berita

MAIWP Labuan komited salur RM33 juta kepada asnaf

Foto: MAIWP Labuan
- Diterbit 14 Oktober 2024 6:46 PM MYT

SEJUMLAH RM33 juta peruntukan telah berjaya disalurkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan kepada golongan asnaf di pulau ini sepanjang tempoh Januari hingga September tahun ini.

Menurut Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, peruntukan tersebut disalurkan kepada golongan asnaf menerusi pelbagai bantuan sedia ada.

Katanya bantuan yang membabitkan 5,600 penerima berdaftar disalurkan menerusi 38 skim bantuan antaranya bulanan, persekolahan, perubatan dan sebagainya.

“MAIWP amat komited melaksanakan amanah dan tanggungjawab untuk memastikan semua golongan asnaf di Labuan ini mendapat sokongan yang diperlukan termasuklah bantuan kewangan dan keperluan asas,” katanya kepada pemberita pada Program Kembara Kasih MADANI MAIWP baru-baru ini.

Pada program tersebut sebanyak 30 buah motosikal berkuasa tinggi dan 15 buah kenderaan dari pelbagai agensi kerajaan mengadakan kembara di empat lokasi persinggahan bermula di Dataran Labuan, Sekolah Kebangsaan Patau-Patau, Kampung Kilan Pulau Akar dan Kampung Ganggarak.

MAIWP turut menyerahkan sumbangan wang tunai dengan cek bernilai RM49,800 di empat lokasi.

Selain itu, RM854,800 telah disalurkan menerusi Bantuan Keusahawanan Asnaf dengan kerjasama INSKEN 2024.

Di Kampung Kilan, MAIWP menyerahkan sebanyak RM30,000 kepada asnaf manakala Taman Damai Layang-Layangan menerima bantuan minyak pelincir untuk 130 penerima kenderaan e-hailing.

Penyerahan terakhir melibatkan RM30,000 kepada 100 asnaf di Balai Raya Kampung Ganggarak.

Mengulas lanjut, beliau berkata sebagai usaha untuk membantu memperkasa kesejahteraan asnaf di pulau ini, pihaknya telah memperuntukkan sejumlah RM88 juta bagi tahun 2024.

“Jumlah peruntukan yang cukup besar ini mencerminkan kesungguhan MAIWP di Labuan dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik untuk meneruskan kehidupan seharian.

“Ini dibuktikan sehingga 30 September 2024. MAIWP Labuan telah mengagihkan bantuan sebanyak RM65.3 juta kepada asnaf,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas