MALAYSIA Airports Holdings Bhd (MAHB) menyasar untuk mengembangkan ketersambungan (connectivity) lapangan terbang kendaliannya dengan tambahan pengoperasian 10 lagi syarikat penerbangan tahun ini.
Ini selepas 12 syarikat penerbangan memulakan operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tahun lalu antaranya Air Macau, Iraqi Airways, Turkmenistan Airlines, Cambodia Airways, Qingdao Airlines, AirAsia Cambodia, Loong Air dan Air India.
Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, pihaknya akan memberikan tumpuan kepada pasaran utama di Asia dan Eropah.
“Strategi ini akan membantu memacu pertumbuhan trafik ketika Malaysia bersedia untuk Tahun Melawat Malaysia 2026, mengukuhkan lagi komitmen menghubungkan negara dengan dunia dan memberikan pengalaman perjalanan yang lancar,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Terdahulu MAHB memaklumkan, Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang ketara dalam sektor penerbangan pada tahun lalu dengan tambahan operasi 12 syarikat penerbangan, 16 penyambungan semula laluan dan 24 destinasi baharu.
MAHB berkata, KLIA, pintu masuk antarabangsa paling sibuk negara, mengalu-alukan beberapa syarikat penerbangan antarabangsa manakala lapangan terbang serantau juga mendapat manfaat daripada peningkatan trafik udara dengan penerbangan terus baharu ke destinasi di seluruh Asia dan seterusnya.
Katanya, destinasi baharu yang menghubungkan KLIA pada 2024 termasuk Almaty, Ashgabat, Baghdad, Chiang Rai, Lam Dong, Labuan Bajo, Jaipur, Nairobi, Nanjing dan Vientiane.
“Secara keseluruhannya sebanyak 73 syarikat penerbangan asing dan enam syarikat penerbangan tempatan (tidak termasuk kapal kargo) kini mengendalikan 138 penerbangan antarabangsa dan 31 destinasi domestik dalam rangkaian lapangan terbang Malaysia, mencerminkan pertumbuhan berterusan sektor penerbangan negara,” katanya.
MAHB menambah, pada tahun lalu, rangkaian Malaysia Airports termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISGA) di Turkiye merekodkan lebih 135 juta pergerakan penumpang, mencapai 96.1 peratus daripada paras 2019.
“Di Malaysia, lapangan terbang mengendalikan 93.8 juta penumpang, mencapai 89.1 peratus tahap prapandemik.
“Trafik antarabangsa meningkat dengan 49.6 juta penumpang atau 93.1 peratus daripada angka 2019, walaupun menghadapi cabaran seperti kelewatan penghantaran pesawat dan gangguan dalam perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO),” katanya.
Sektor domestik juga katanya, kekal stabil, mencatatkan 44.2 juta penumpang atau 85.1 peratus daripada paras prapandemik.
Sementara itu ISGA meneruskan trajektori pertumbuhannya pada 2024 dengan 41.9 juta penumpang, peningkatan 16.7 peratus daripada 2019. – WILAYAHKU