Berita

MAFI sasar tingkatkan pengeluaran beras sehingga 75 peratus susulan COVID-19

- Diterbit 16 November 2020 8:32 AM MYT

PENULARAN pandemik COVID-19 sehingga mengakibatkan penutupan sempadan negara, antara faktor perubahan dasar Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk pengeluaran beras tempatan daripada 70 kepada 75 peratus pada masa akan datang.

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata peningkatan pengeluaran beras tempatan juga akan membantu kerajaan dalam mengurangkan kebergantungan kepada beras import, termasuk dari negara jiran.

“Sebelum ini, kita selesa dengan dasar 70 (peratus tempatan)dan 30 (import) dan ini akan dinilai semula bagi mencapai 75 peratus untuk tahun yang akan datang. Kita perlu merancakkan pengeluaran padi berskala besar,” katanya mengenai Belanjawan 2021 di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di sini hari ini.

Sebelum ini, Kiandee dilaporkan berkata pengeluaran benih padi melalui sembilan pengeluar benih padi sah yang diiktiraf kerajaan ketika ini adalah pada tahap 74,000 tan metrik bagi setiap musim dan keperluan pesawah untuk benih padi di seluruh negara adalah 72,000 tan metrik.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 Nov lepas, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan peruntukan RM4.79 bilion kepada MAFI, demi kepentingan sektor agromakanan kepada ekonomi negara.

Peruntukan itu meliputi perbelanjaan mengurus sebanyak RM3.28 bilion dan perbelanjaan pembangunan RM1.51 bilion. Di bawah perbelanjaan mengurus, MAFI menerima RM1.72 bilion bagi pemberian subsidi, insentif dan bantuan untuk petani dan nelayan pada 2021.

Insentif dan bantuan yang akan disediakan itu antara lain juga untuk meningkatkan daya saing pengeluaran padi dan beras, menerusi peningkatan produktiviti, kualiti dan kecekapan, selain meringankan beban golongan itu khususnya dalam keadaan ekonomi yang mencabar pada masa ini.

Menurut Kiandee, bagi mencapai sasaran 75 peratus pengeluaran beras tempatan, beberapa langkah dikenal pasti antaranya memperluaskan kawasan jelapang padi, penggunaan baja yang bersesuaian dan penambahbaikan sistem pengaliran bagi meningkatkan hasil pengeluaran.

“Pengeluaran beras padi berbeza di antara kawasan, disebabkan kesuburan tanah yang berbeza antara kawasan utara, selatan, di Selangor, Perak dan sebagainya. Kita sudah sediakan sebahagian dana untuk profil tanah. Lebih banyak taburan dan baja yang teratur dapat dibuat.

“Kita harapkan penglibatan pihak swasta untuk menceburkan diri dalam penanaman padi skala besar. Ini diharapkan dapat tingkatkan pengeluaran beras negara dan kurangkan kebergantungan terhadap beras import,” katanya.

Mengenai sektor pertanian dan perikanan negara yang dilihat kurang menawarkan pendapatan tinggi berbanding di negara-negara maju, Kiandee berkata kementerian menyedari cabaran tersebut, namun pelbagai usaha sudah dilakukan, termasuk menarik minat golongan muda menceburi bidang itu.

“Agak menghairankan apabila pertanian dan perikanan di negara kita sering dikaitkan dengan kemiskinan, sedangkan aktiviti pertanian dan perikanan adalah antara mekanisme terbaik dalam usaha membasmi kemiskinan.

“Ada banyak bukti empirikal menunjukkan usaha terbaik bagi membasmi kemiskinan tegar adalah dengan meningkatkan produktiviti pertanian, supaya pendapatan petani bertambah, bekalan makanan negara stabil dan harga bahan makanan menjadi murah dan dapat diakses oleh lebih ramai penduduk,” katanya.

Kiandee berkata kementerian sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk agensi kerajaan, yang mempunyai tanah bagi tujuan projek pembangunan tetapi masih belum dimajukan untuk dimanfaatkan dengan aktiviti pertanian.

Selain itu, kerajaan negeri juga diminta untuk menyelesaikan isu tanah di negeri masing-masing, supaya tanah-tanah itu dapat segera dimajukan dengan pelbagai aktiviti tanaman atau ternakan bernilai tinggi, katanya.

Dalam Belanjawan 2021, kerajaan bercadang menaikkan elaun sara hidup nelayan daripada RM250 kepada RM300 sebulan menerusi pertambahan peruntukan sebanyak RM30 juta, yang akan memanfaatkan 40,000 nelayan bagi meringankan beban ditanggung golongan nelayan yang terjejas akibat COVID-19.

Menyentuh mengenai industri pengeluaran daging, Kiandee berkata Jawatankuasa Kabinet Jaminan Makanan yang bermesyuarat baru-baru ini, membincangkan kaedah mengurangkan kebergantungan kepada daging import, selain menjamin keperluan makanan negara dan menjana pendapatan kepada pemain industri. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas