VOKALIS kumpulan rock XPDC, Mael menghembuskan nafas terakhir di Hospital Muar, Johor pada pukul 9.30 malam ini.
Pemergian Mael atau nama sebenarnya Syed Ismail Syed Ibrahim,55, telah disahkan oleh anaknya, Sharifah Irfatasha.
Pada masa sama, berita itu juga dikongsikan menerusi akaun Facebook pengurus kumpulan Slam, Johan Aziz, yang memetik pemberitahuan daripada pengurus kumpulan terbabit, Bro Yazid.
Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kediamannya di Muar malam ini untuk urusan pengebumian.
Mael yang memulakan karier bersama XPDC sejak era 1980-an berasal dari Parit Tiram, Muar ini popular dengan lagu Hentian Ini, Nafisa, Titian Perjalanan, Apa Nak Di Kata, Hijau Bumi Tuhan, Semangat Perjuangan Harmoni dan banyak lagi.
Pada Ogos 2019, Mael pernah dilaporkan dikejarkan ke hospital selepas mengalami kesakitan dan tidak mampu bergerak. Di Hospital Muar juga, beliau menerima rawatan hingga keadaannya kembali pulih. – WILAYAHKU