Selebriti

M Nasir lakar sejarah jayakan konsert raya

- Diterbit 14 Mac 2025 12:24 PM MYT

SELEPAS mengukir kejayaan pada konsert M N46IR Cipta 2 di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Oktober tahun lalu, maestro muzik Datuk M Nasir bakal melakar satu lagi sejarah apabila menjadi artis pertama mengadakan konsert yang menghidangkan rangkaian lagu raya.

Konsert dikenali sebagai Dato M N46IR Cipta Raya itu bakal berlangsung pada 13 April iaitu ketika umat Islam masih berada dalam ‘mood’ Syawal bertempat di Zepp KL.

Dalam konsert yang bakal berlangsung lebih dua jam, penyanyi berusia 67 tahun itu dijangka mendendangkan kira-kira 20 lagu raya nyanyiannya sendiri serta lagu yang pernah dicipta untuk penyanyi lain.

Menurut penyanyi yang turut mendapat jolokan ‘sifu’ itu, dia tidak berfikir panjang apabila pengasas Icon Entertainment, Iman Tang mengemukakan cadangan mengadakan konsert yang merupakan ‘spin off’ kepada M N46IR Cipta 2.

“Saya hanya angguk apabila Iman usulkan cadangan itu (konsert).

“Kami tidak berkomunikasi pun, dia (Iman) hanya berurusan dengan orang sekeliling.

“Saya anggap tawaran menyanyi sebagai kerja saja. Vokalis Rolling Stones, Mig Jagger pun masih menyanyi lagi kalau dia masih boleh.

“Saya pun hanya terima jika kena dengan waktu kerana saya pun ada buat kerja-kerja lain,” katanya yang ditemui pada majlis sidang media pengumumkan Konsert M45IR Cipta Raya di Shook, Bukit Bintang.

Penyanyi yang sudah lebih empat dekad berada dalam arena muzik tanah air serta memiliki hampir 3,000 koleksi lagu itu berpendapat penganjuran konsert yang bertemakan lagu raya tidak harus dipertikaikan.

“Kenapa tidak? Kalau televisyen boleh siarkan program lagu-lagu raya, kita pun boleh buat konsert bertemakan lagu raya.

“Saya ada syorkan untuk nyanyi lagu bukan ciptaan saya. Saya minat lagu raya daripada Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Allahyarham Datuk Ahmad Jais dan dR Sam,” katanya.

Berkongsi lanjut mengenai repertoire lagu malam itu, kata M Nasir dia mempunyai ‘team’ yang akan menyenaraikan lagu-lagu bakal dibawakan.

M Nasir juga berkata dia mahu menggunakan kesempatan melalui konsert itu untuk memperkenalkan lagu-lagu raya ciptaannya yang mungkin tidak diketahui oleh peminat.

“Mungkin saya boleh pertimbangkan cadangan menyanyikan lagu Selamat Hari Raya daripada kumpulan Al Jawaher. Ramai tidak tahu saya merupakan pencipta lagu itu.

“Apa yang akan saya nyanyikan malam itu adalah tentang nostalgia, sentimental, kesyahduan, kegembiraan dan silaturahim.

“Elemen itulah yang buatkan lagu Satu Hari Di Hari Raya menjadi lagu paling popular, nak diikutkan populariti lagu itu berlaku secara tidak sengaja.

“Lagu itu pada mulanya diisi dalam album raya Polygram, kemudian apabila saya bersama BMG, lagu itu dimuatkan pula dalam album bersama label itu tetapi kesyahduan lagu itu ditambah dengan tiupan seruling daripada Mohar,” katanya.

Sementara itu Iman Tang selaku penganjur pula berkata cadangan mengadakan konsert itu bukan atas desakkan M Nasir.

Sebaliknya idea timbul selepas lagu Satu Hari Di Hari Raya menjadi fenomena di konsert M N46IR Cipta 2.

“Beliau tak pernah meminta-minta, tapi apabila melihat M Nasir ada kira-kira 3,000 lagu dan 15 lagu raya yang kebanyakannya hit, tentulah ia menerbitkan idea apa lagi yang boleh dirancangkan bersama M Nasir.

“Kalau orang tanya kenapa konsert raya? Jawapan saya ringkas sebab orang lain tak buat, jadi biarlah saya yang menjadi ‘trendsetter’.

“Cipta Raya adalah sebuah spin off daripada konsert beliau sebelum ini. Pada lagu terakhir konsert itu, M Nasir menyanyikan lagu Satu Hari Di Hari Raya yang menjadi fenomena selama berminggu-minggu pada tahun lalu.

“Dari situ timbul ilham untuk adakan konsert ini dan kebetulan M Nasir mempunyai banyak karya lagu raya sama ada nyanyiannya sendiri atau dicipta untuk penyanyi lagi jadi kenapa tidak dianjurkan saja Cipta Raya,” katanya.

Bagaimanapun kata Iman Tang sebelum cadangan mengadakan konsert raya itu diusulkan kepada M Nasir, dia terlebih dulu membuat kajian dan mempertimbangkan ‘pro & cons’ penganjuran konsert itu.

“Nak bentangkan sesuatu kepada beliau kena buat ‘homework’, perlu fikir masak-masak apakah keperluan untuk mengadakan konsert itu,” katanya lagi.

Memilih mengadakan di Zepp KL, Iman Tang berkata pilihan itu dibuat kerana dia mahu peminat merasa dekat dan dapat berinteraksi dengan penyanyi kegemaran mereka itu secara langsung.

Bertemakan ‘glam raya’, Iman Tang mengalakkan peminat datang dengan pakaian raya yang glamor bagi menghidupkan lagi konsert.

Pembeli tiket bukan saja mendapat akses menonton konsert tetapi mereka juga dapat menjamu juadah raya sebelum konsert bermula, seolah-olah acara rumah terbuka buat peminat M Nasir. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas