Berita

M. Daud Kilau meninggal dunia

- Diterbit 18 Disember 2023 6:26 PM MYT

PENYANYI legenda yang sinonim dengan Raja Gelek Malaysia, Datuk M. Daud Kilau meninggal dunia di Hospital Teluk Intan, Perak kira-kira pukul 4.40 petang, hari ini.

Berita duka ini disampaikan oleh anaknya, Ahmad Zain kepada Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT).

Pemilik nama sebenar Muhammad Daud Kilau itu sebelum ini berdepan masalah penyakit jantung, paru-paru berair dan kebas anggota kaki dan tangan.

Penyanyi berusia 85 tahun itu pada Mei lalu juga pernah dimasukkan ke Hospital Teluk Intan gara-gara masalah sesak nafas.

Sebelum ini, beberapa berita palsu kononnya bintang veteran itu meninggal dunia sudah terjadi antara Januari 2016 dan September 2022, kedua-duanya adalah sewaktu beliau dimasukkan ke wad Hospital Teluk Intan kerana mengadu sukar membuang air kecil dan alami paru-paru berair.

M. Daud mula menceburkan diri dalam bidang seni selepas menjuarai Bintang Radio Singapura pada 1968 dan berpeluang merakamkan album pelbagai konsep.

Antara lagu popularnya adalah Cik Mek Molek, Gurindam Jiwa, Perigi Biru, Salam Kasihku dan banyak lagi. – WILAYAHKU

 

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas