Berita

Luahan menerusi puisi Pelita Hatiku… “Tidak ternilai pengorbanan seorang ibu” – Fizie

- Diterbit 13 Mei 2025 9:46 AM MYT

RAMAI yang tersentuh hati apabila penyampai radio Fizie Roslan meluah rasa hatinya sempena Hari Ibu.

Fizie membacakan puisi berjudul Pelita Hatiku dalam satu hantaran yang dimuat naik stesen radio Gegar FM di laman sosial baru-baru ini dengan kapsyen “Kalau ini kali terakhir kami boleh…’.

Dalam hantaran itu Fizie bersama kesemua penyampai radio berkenaan meluahkan penghargaan dan terima kasih mereka kepada ibu masing-masing sempena sambutan Hari Ibu.

Bercerita lanjut, Fizie berkata ibunya Sarimah Bahazin, 62, seorang suri rumah yang sentiasa memastikan keluarga terjaga dan tidak pernah penat menumpahkan kasih sayang kepadanya dan dua lagi adik.

“Bila diberikan tugasan untuk membuat ‘content’ itu, saya memilih untuk membaca puisi sebagai luahan penghargaan buat ibu saya.

“Tidak ternilai pengorbanan seorang ibu dan tidak ada penghargaan yang mampu membalas jasa yang diberikannya kepada kita sebagai anak.

“Saya sendiri akan sentiasa mencari masa untuk hubungi ibu saya di kampung setiap kali ada peluang meskipun sibuk bekerja,” katanya.

IBU dan bapa Fizie (Roslan Othman)

Fizie juga berpesan kepada semua yang masih mempunyai ibu supaya berusaha membahagiakan mereka dan merakam momen bersama sebagai kenangan.

Dia berkata, begitu juga bagi mereka yang memiliki ibu mentua, perlu menghargai dan menyayangi mereka sama seperti ibu sendiri.

“Alhamdulillah ibu mentua saya Hasmah Mohamad yang juga banyak menyokong kerjaya seni dan mempercayai kebolehan saya,” katanya.

Fizie turut berkongsi dia yang juga duta Maamy Mineral Essence iaitu produk yang diasaskan oleh Hasmah, berjaya memujuk ibu mentuanya melebarkan empayar perniagaan ke Lembah Klang.

“Ada juga cerita menarik, sempena Hari Ibu juga ibu mentua saya akhirnya setuju untuk mempunyai pejabat di Avenue Crest, Shah Alam dalam usaha memperkenalkan produknya ke pasaran lebih luas,” katanya.

FIZIE bersama ibu Mentua dan Isteri, Fatin Syarmimi Izzati Mohd Idris

Akui Fizie, dia antara insan bertuah kerana masih diberikan rezeki mempunyai ibu dan ibu mentua untuk berkasih sayang.

“Macam saya katakan tadi, selagi Allah berikan kita peluang dan ibu masih bernyawa kita perlu menghargai dan memberikan yang terbaik,” katanya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas