Berita

Lorong bas Jalan Genting Klang catat peningkatan penumpang

PROJEK percubaan lorong bas Jalan Genting Klang dan Jalan Ampang bantu lancar perjalanan lalu lintas.
- Diterbit 5 Januari 2024 10:10 AM MYT

JUMLAH penumpang bas di Projek Percubaan Lorong bas tambahan di Jalan Genting Klang meningkat sebanyak 43 peratus bagi laluan 250 (Stesen LRT Wangsa Maju ke Lebuh Ampang) semenjak ia dilancarkan pada November 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd, Muhammad Yazurin Sallij berkata peningkatan tersebut direkodkan hasil daripada sambutan baik yang diterima daripada penumpang bas terutama di sekitar kawasan Setapak dan Wangsa Maju.

YAZURIN

“Berdasarkan tinjauan yang dilakukan oleh pihak Rapid Bus sendiri, rata-rata pengguna menyambut baik inisiatif tersebut. Perjalanan yang sebelum ini memakan masa selama lebih satu jam kerana perlu bersesak dan menunggu lama terutama ketika waktu puncak pagi dan petang, kini dapat dijimatkan sehingga 20 minit.

“Hal ini kerana, lorong bas tersebut beroperasi pada waktu puncak, dari pukul 6 hingga 9 pagi pada setiap Isnin hingga Jumaat dengan frekuensi kekerapan laluan bas selama tiga hingga lima minit sahaja selain tambangnya juga berpatutan tidak melebihi RM2.50.

“Jelas terbukti, dengan adanya lorong bas ini, perkhidmatan bas Rapid KL lebih lancar dan boleh menjimatkan masa perjalanan sehingga 20 minit jika dibandingkan dengan kenderaan awam. Perkhidmatan bas di Jalan Genting Kelang ini juga boleh menghubungkan para penumpang ke mod pengangkutan awam yang lain untuk ke destinasi akhir,” katanya.

Dalam pada itu, Yazurin turut memaklumkan projek percubaaan lorong bas di Laluan Ampang yang bermula dari Jalan Rhu ke Persimpangan Jalan Tun Razak turut mencatatkan peningkatan penumpang sebanyak 15 peratus bagi tahun 2023.

“Insya-Allah untuk perancangan, kita juga sudah berbincang dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor untuk memanjangkan laluan bas Jalan Ampang ke kawasan Selangor.

“Perancangan lain, kita juga sudah berbincang dengan pihak DBKL untuk mengintegrasikan laluan GO KL dan laluan Rapid KL di dalam aplikasi PULSE yang disediakan oleh kami. Ia membolehkan pengguna merancang perjalanan dan mengetahui lokasi bas melalui aplikasi tersebut,” katanya.

Terdahulu, projek percubaan lorong bas di Jalan Genting Klang dan Jalan Ampang adalah inisiatif yang dilaksanakan oleh Rapid Bus Sdn Bhd dengan kerjasama DBKL bagi menambah baik perjalanan bas di sekitar Kuala Lumpur termasuk memberi kemudahan segera kepada pengguna. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas