KENDERAAN berat khususnya lori kontena dan treler antara penyumbang tertinggi bagi kes-kes kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan berdasarkan statistik Januari sehingga September lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan berkata, dalam tempoh itu, sebanyak 168 kes kemalangan direkodkan dengan 97 kes maut, 32 kes cedera parah dan 39 kes kecederaan ringan bagi kenderaan perdagangan.
Menurutnya, 16 lagi kes melibatkan kenderaan perkhidmatan.
“Untuk itu JSPT mengambil inisiatif dengan menguatkuasakan tindakan melalui Op Perdagangan di seluruh negara.
“Bagi sembilan bulan ini, sebanyak 4,822 operasi telah dilaksanakan dengan 38,367 saman dikeluarkan melibatkan kenderaan perdagangan dan sejumlah 177 buah kenderaan pelbagai jenis disita,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Mohd Yusri berkata, kesalahan utama yang dikesan adalah membawa muatan berbahaya dan tidak kemas, tiada tanda segi tiga, tiada bunga tayar selain lampu signal dan brek tidak berfungsi.
Katanya, JSPT akan terus meningkatkan penguatkuasaan terhadap semua kenderaan perdagangan yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.
Tegas beliau, pihaknya tidak akan berkompromi dan akan bertindak tegas dalam penguatkuasaan bagi menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya.
“Kita memandang serius berlakunya kes kemalangan yang melibatkan kenderaan perdagangan sehingga menyebabkan kematian pengguna jalan raya yang lain.
“Semua tindakan penguatkuasaan akan diambil di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010,” katanya. – WILAYAHKU