Selebriti

Lonjakan nama, kerjaya Mimi Fly

- Diterbit 18 April 2025 1:56 PM MYT

LAGU Angkat dan Serumpun yang dilancarkan berselang dua bulan membawa impak besar terhadap kerjaya Mimi Fly.

Sepanjang hampir dua dekad Shamimi Amalina Norhisham, 38, menyusun langkah dalam dunia nyanyian, ini kali pertama perhatian terarah kepadanya.

Sehingga dia tidak menang tangan menerima ‘job’ selepas Angkat dan Serumpun menjadi fenomena, malah jadualnya hanya kosong sekitar Jun nanti.

“Saya pun tak sangka begini sekali impak dan perhatian diberikan selepas Angkat dan Serumpun dilancarkan.

“Populariti kedua-dua lagu itu menyebabkan saya tiada masa untuk berehat. Saya tidak mengeluh sebaliknya seronok dengan apa dilalui sekarang dan berasa dirahmati.

“Ini adalah perkara yang saya impikan selama ini. Sepanjang bersama One Nation Emcees dan kemudian memilih untuk bergerak solo 10 tahun lalu, saya tidak pernah rasa sesibuk ini,” katanya.

Menurut Mimi, dalam sehari ada kalanya dia terpaksa berlari ke empat lokasi berbeza memenuhi undangan nyanyian.

Tidak pernah lagi terjadi sepanjang kerjayanya dia tidak menang tangan menerima undangan.

“Dulu sewaktu One Nation Emcess lancarkan lagu Anak Kampung, kami pernah terima banyak undangan tapi tidak sesibuk ini.

“Saya tak pandai menolak ‘job’, setiap kali ada tawaran saya akan cuba jayakan. Saya tak suka hampakan harapan orang.

“Saya juga suka menghibur, nak suruh saya menyanyi hari-hari pun tidak apa. Lagipun baru sekarang saya dapat peluang ini, jadi sementara orang nak, saya ‘bolot’ dulu peluang yang ada,” katanya.

Namun lantaran terlalu sibuk memenuhi undangan sana sini, Mimi mengalami ulser di bahagian tekak hingga menyukarkannya menelan dan menyanyi.

Semuanya gara-gara refluks asid akibat menikmati terlalu banyak juadah raya, tidak cukup tidur dan stres.

Namun dia terpaksa meneruskan kerja kerana perjanjian yang sudah dipersetujui, tetapi perkara itu mengajar Mimi untuk lebih beringat selepas ini.

Walau bagaimanapun seakan-akan tidak mengenal erti lelah dan sementara dirinya diterima, Mimi kini sedang merencana buah tangan terbaru.

Akui sedikit tertekan memikirkan naskhah baru yang bakal dihidangkan buat pencinta karyanya, Mimi menyifatkan tekanan itu berbaloi.

“Tekanan pasti ada tetapi saya anggap ia tekanan yang berbaloi. Lagipun mama selalu berpesan, jangan biarkan pencapaian atau kegagalan mempengaruhi fikiran kita.

“Mama juga berpesan jangan disebabkan sesebuah lagu itu menjadi, saya hanya tumpu pada lagu itu dan jadikannya sebagai perniagaan.

“Sebaliknya mama nak saya terus hasilkan karya-karya baru dan segar kerana itulah yang dinamakan seni.

“Rangka untuk lagu baru sudah ada, saya tidak mengehadkan genre macam mana tapi lebih kepada ikut suka hati saya. Rencananya saya ingin melancarkan lagu itu secepat mungkin tapi kita merancang, Allah yang tentukan. Jadi saya hanya berserah,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas