MALAYSIA mencatat pencapaian membanggakan apabila melonjak 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 dalam Laporan Penarafan Daya Saing Dunia 2025 oleh Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD), satu peningkatan signifikan dan terbaik dalam tempoh lima tahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu hantaran di Facebook rasmi beliau berkata, prestasi memberangsangkan ini merupakan isyarat jelas bahawa usaha reformasi Kerajaan MADANI sedang menampakkan hasil yang nyata.
“Kita buktikan Malaysia mampu melonjak jauh dengan tekad politik, iltizam seluruh jentera kerajaan serta kerjasama erat sektor swasta,” katanya.
Tambah beliau, pencapaian ini bukan sahaja menggambarkan pemulihan ekonomi yang kukuh, malah membuktikan keberkesanan dasar pentadbiran dan strategi pelaburan negara yang inklusif dan mampan.
Anwar berkata faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan ini termasuk prestasi cemerlang dalam sektor perdagangan antarabangsa, kecekapan pentadbiran kerajaan serta persekitaran pelaburan yang semakin kompetitif.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa pencapaian ini bukan hanya milik kerajaan, tetapi milik seluruh rakyat Malaysia yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan negara dalam menghadapi cabaran global.
“Ia antara asas penting dalam perjalanan kita untuk meletakkan Malaysia dalam kelompok ekonomi paling berdaya saing menjelang 2033, demi masa depan yang lebih cerah untuk anak-anak kita,” ujarnya lagi.
IMD World Competitiveness Ranking merupakan penanda aras global yang menilai daya saing sesebuah negara berdasarkan prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan perniagaan dan infrastruktur. Tahun ini, Malaysia berjaya mengatasi beberapa negara serantau dan membuktikan bahawa hala tuju ekonomi MADANI berada di landasan yang tepat.- WILAYAHKU