Berita

LLM jangka 2.4 juta kenderaan sehari sempena Tahun Baru Cina

- Diterbit 7 Februari 2024 7:31 PM MYT

LEMBAGA Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan sebanyak 2.4 juta kenderaan sehari akan menggunakan lebuh raya pada hari-hari puncak sempena perayaan Tahun Baru Cina.

LLM dalam satu kenyataan berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 1.5 juta kenderaan akan menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) manakala masing-masing 199,000, Lebuh Raya KL-Karak; Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Fasa 1 (106,000) dan Pantai Timur Fasa 2 (61,000).

“Pihak LLM menjangkakan peningkatan jumlah trafik yang menggunakan lebuh raya menuju ke arah Pantai Timur, Utara dan Selatan seawal Khamis ini.

“Bagi mendepani peningkatan trafik, LLM telah mengarahkan kesemua Syarikat Konsesi Lebuh Raya untuk melakukan persediaan rapi agar perjalanan pengguna lebuh raya adalah selamat dan lancar sepanjang tempoh berkenaan,” katanya hari ini.

Menurut LLM, antara langkah-langkah yang diambil adalah Syarikat Konsesi Lebuh Raya tidak dibenarkan melaksanakan sebarang penutupan lorong lebuh raya kecuali bagi kes dan kerja kecemasan bermula pada 5 hingga 14 Februari.

Tambahnya, mengaktifkan laluan ‘smart lane’ di lokasi-lokasi yang telah dikenalpasti di Lebuh Raya Plus dan laluan ‘tidal flow’ di Lebuh Raya KL-Karak.

“Selain itu, sentiasa memastikan pengoperasian lebuh raya dalam keadaan baik dan semua kemudahan dapat berfungsi sepanjang tempoh tersebut terutamanya di kawasan rehat dan rawat (R&R) serta Hentian Sebelah demi keselesaan dan keselamatan pengguna lebuh raya.

“Syarikat konsesi lebuh raya juga perlu memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik bagi mengelakkan kesesakan di plaza tol, selain penambahan lorong tol sementara di beberapa plaza tol yang dikenalpasti mempunyai trafik yang tinggi.

“Pihak syarikat konsesi lebuh raya perlu menyediakan kemudahan tambahan bagi tempat letak kereta dan tandas mudah alih di beberapa kawasan R&R di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan, Lebuh Raya Kl-Karak dan Lebuh Raya Pantai Timur 1,” jelasnya.

Selain itu, LLM juga memaklumkan antara langkah lain juga meningkatkan bilangan petugas untuk memastikan kebersihan tandas dan memastikan kecukupan bekalan air serta bekalan minyak di stesen-stesen minyak dengan mendapatkan kerjasama daripada pengusaha stesen dan syarikat pembekal minyak demi keselesaan pengguna lebuh raya.

Dalam pada itu, LLM menasihatkan pengguna agar merancang perjalanan dengan merujuk kepada aplikasi MyPLUS-Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) oleh pihak PLUS bagi perjalanan di Lebuh Raya Utara-Selatan dan TTA oleh pihak Anih Berhad bagi Lebuh Raya KL-Karak dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1.

“Orang ramai juga diminta memastikan kenderaan dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan serta memastikan baki kad Touch ‘n Go dan e-wallet mencukupi.

“Selain itu, pihak pengguna juga boleh disaran mengaktifkan ‘pay wave’ di kad debit atau kredit sekiranya menggunakan Sistem Kutipan Tol Secara Pembayaran Terbuka (SPT) di lebuh raya terpilih.

“Pengguna yang melalui jajaran yang terlibat dengan pengaktifan ‘smart lane’ boleh menggunakan bahu jalan sebagai laluan alternatif ketika berlaku kesesakan dan dinasihatkan mematuhi papan tanda lalu lintas yag disediakan,” katanya.

LLM turut menasihati pengguna bagi penunggang motosikal supaya berteduh di tempat berteduh penunggang motosikal yang telah disediakan semasa cuaca buruk.

LLM memberitahu untuk kemudahan pengguna lebuh raya, Pusat Pengurusan Trafik LLM akan beroperasi selama 24 jam mulai esok hingga Selasa depan.

“Pengguna boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat keadaan trafik atau mendapatkan bantuan.

“Status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya juga boleh diperoleh menerusi laman Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia, Aplikasi X @LLMtrafik atau di TikTok @llmtrafik,” ujarnya. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas