LITERASI rakyat terhadap penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) untuk pembekalan elektrik menunjukkan peningkatan memberangsangkan berbanding permulaan mekanisme galakan yang diperkenalkan pada 2011.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memaklumkan, ia seiring dengan pembangunan semasa yang lebih menitikberatkan aspek pengurangan jejak karbon serta kelestarian alam.
“Penggunaan TBB terutamanya penjanaan tenaga solar oleh rakyat di negara ini telah meningkat secara mendadak selepas pelaksanaan inisiatif khusus TBB iaitu mekanisme Feed-in Tariff (FiT) pada 2011.
“Seterusnya pelaksanaan Program Net Energy Metering (NEM) pada 2017 yang membolehkan rakyat memasang sistem solar PV di bumbung premis kediaman,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
PETRA menjawab soalan R Yuneswaran (PH-Segamat) mengenai indikator mengukur literasi rakyat terhadap penggunaan TBB.
Kementerian itu berkata, jumlah pengguna domestik yang mempunyai pemasangan sistem solar PV pada 2011, iaitu semasa permulaan mekanisme galakan TBB diperkenalkan, didapati hanya sekadar 94 pengguna dengan jumlah kapasiti sebanyak 0.5MW (500kW).
Jumlah tersebut katanya, telah meningkat kepada 49,000 pengguna pada masa ini dengan jumlah kapasiti pepasangan sistem solar berjumlah 372MW.
“Ia peningkatan kapasiti sebanyak 744 kali ganda dan peningkatan pengguna sebanyak 521 kali ganda,” katanya. – WILAYAHKU