Berita

Literasi Digital tidak pinggirkan golongan OKU

Fahmu Fadzil di program OKU Celik Digital. Kredit foto: SHUAIB AYOB / WILAYAHKU
- Diterbit 5 November 2023 3:06 PM MYT

USAHA kerajaan dalam meningkatkan literasi Digital dalan era Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) ditingkatkan melalui perlaksanaan Program Pemerkasaan Orang Kurang Upaya (OKU) Celik Digital.

Program tersebut merupakan antara usaha kerajaan untuk menghubungkan komuniti OKU dengan agensi kerajaan selaras aspirasi Malaysia Madani.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata inisiatif itu diperkenalkan bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir dalam pelaksanaan dasar dan inisiatif kerajaan.

Katanya, program itu turut menjadi platform untuk mempromosikan inisiatif yang digerakkan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), khususnya melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan agensi berkaitan bagi membolehkan komuniti OKU memperoleh manfaat yang ditawarkan kerajaan.

“Dunia digital bertindak sebagai pemboleh cara yang memberi peluang kepada komuniti ini berkomunikasi tanpa kekangan.

“Justeru, pelaksanaan program pembangunan dan pemerkasaan digital belia OKU dilakukan bagi membolehkan mereka menggunakan peluang sebaik mungkin dan meningkatkan kebolehpasaran OKU dalam pekerjaan,” katanya ketika berucap merasmikan program itu di sini hari ini.

Sementara itu, Fahmi berkata kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM25 juta untuk meningkatkan kemudahan di semua 911 PEDi seluruh negara yang sedia ada.

“Peruntukan itu turut melibatkan penubuhan 186 PEDi baharu dan kerajaan mensasarkan pembukaannya diseluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun)di seluruh negara,” katanya.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas