Berita

Lima unit kediaman di Flat Sri Sabah musnah dalam kebakaran

- Diterbit 12 Februari 2024 2:15 AM MYT

SEBANYAK lima unit kediaman di Tingkat 17, Blok 70, Flat Sri Sabah, Cheras, musnah dalam kebakaran malam tadi.

Pengarah Bahagian, Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Nordin Pauzi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada 9.19 malam.

Beliau berkata sebanyak tujuh jentera bomba termasuk dua daripada jenis “Aerial Ladder  Platform” dan 55 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah, BBP Bandar Tun Razak,  BBP Sri Hartamas dan BBP Pudu dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan itu.

“Kejadian dipercayai berpunca dari rumah nombor tiga dari tepi sebelum merebak kepada empat rumah berhampiran. Bagaimanapun tiada  sebarang kemalangan jiwa berlaku, manakala punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian.

Beliau berkata pada peringkat awal pihak bomba menghadapi sedikit kesukaran untuk mengawal kebakaran memandangkan kebakaran berlaku di Tingkat 17 blok berkenaan menyebabkan anggota bomba terpaksa menggunakan  jentera “Aerial Ladder Platform” selain tekanan air rendah.

Bagaimanapun, beliau berkata hasil tindakan pantas pihak bomba, kebakaran dapat dikawal pada 11.22 malam.

Nordin berkata seramai 39 anggota daripada agensi seperti Angkatan Pertahanan Awam dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur turut membantu dalam operasi berkenaan.

“Saya menjangkakan operasi akan tamat sepenuhnya pada 2 pagi ini dan selepas itu penghuni-penghuni akan dibenarkan kembali ke rumah masing-masing,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin berkata siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah terlibat dalam kejadian berkenaan.

“Siasatan lanjut akan dilakukan oleh pihak bomba dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan,” katanya.

Menurut Zam Halim seramai 50 anggota polis juga akan ditempatkan di lokasi kejadian bagi tujuan keselamatan dan pemantauan memastikan keadaan berada dalam keadaan baik. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas