Berita

Lima Tokoh Pemuisi Malaysia bakal dinobat dalam HPM-4

- Diterbit 7 Jun 2024 3:20 PM MYT

BERSEMPENA Sambutan Hari Puisi Malaysia ke-4 (HPM-4) seramai lima orang tokoh pemuisi tanah air terpilih bakal dinobatkan sebagai Tokoh Pemuisi Malaysia.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), Profesor Madya Dr Norhayati Ab Rahman, Anugerah Tokoh Pemuisi Malaysia adalah untuk menghargai jasa serta pengorbanan tokoh-tokoh dalam memartabatkan puisi dan pemuisi tanah air.

“Ia bukanlah anugerah penulisan atau karya sastera, tetapi penghargaan kepada tokoh yang benar-benar berjasa serta berbakti kepada perkembangan puisi dan pemuisi tanah air. Anugerah ini juga diberi bagi mengenang jasa bakti mereka dalam memartabatkan bidang puisi.

“Nama-nama mereka akan diabadikan dalam satu Plak Khas PEMUISI dan nama-nama penerima baharu akan ditambah mengikut tahun.

“Maksudnya, bermula pada tahun ini dan seterusnya, anugerah tokoh ini akan diadakan pada setiap tahun, insya-Allah,” katanya satu jawatankuasa khas telah dibentuk bagi pemilihan pemenang.

Program yang bakal diadakan di Universiti Teknologi MARA cawangan Machang, Kelantan pada 13 dan 14 Jun ini, HPM-4 akan diadakan selama dua hari berbanding satu hari sebelum ini.

“Pada sebelah pagi hari pertama, kami akan adakan Seminar Puisi Mutakhir Malaysia dan di sebelah petang akan diadakan Bicara dan Diskusi Buku. Tokoh-tokoh pembentang dan pembicara bagi kedua-dua acara itu ialah Sasterawan Negara, Datuk Dr Zurinah Hassan; Adiwangsa Sukma, Datuk A Aziz Deraman; Sasterawan Kelantan Rosli K Matari; Presiden PEMUISI Dato’ Wanrazuhar dan saya sendiri.

“Manakala pada 14 Jun, di sebelah pagi kami akan mengadakan Penghayatan Puisi Artistik yang akan disertai tokoh-tokoh sasterawan nasional dan tempatan. Sementara di sebelah malamnya akan diadakan Malam Kemuncak Sambutan HPM: Perpaduan Kukuh, Malaysia Teguh,” tambahnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PEMUISI, Marzelan Md Jusoh berkata pada 1 Jun hingga 7 Jun. PEMUISI telah membuka penyertaan di Facebook Pemuisi Nasional Malaysia, yang bertemakan Perpaduan Kukuh, Malaysia Teguh yang mendapat penyertaan amat menggalakkan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas