Berita

Lima direman disyaki bersubahat lulus pinjaman kewangan RM11.3 juta

- Diterbit 22 Mei 2025 12:46 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan reman lima individu termasuk empat bekas pegawai bank kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM300,000 daripada pemilik syarikat.

Ia sebagai dorongan untuk meluluskan permohonan pinjaman kewangan dengan menggunakan dokumen sokongan palsu.

Perintah reman selama tujuh hari sehingga 28 Mei terhadap kelima-lima suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 50-an dikeluarkan Majistret 1 Siti Aisyah Umar Baki selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Sesyen Sandakan, Sabah pagi tadi.

Menurut sumber, kesemua suspek telah ditahan antara pukul 2 petang hingga 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Sandakan.

“Kesemua suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut sekitar 2022 hingga 2024 yang melibatkan kelulusan pinjaman pembiayaan bernilai kira-kira RM11.3 juta daripada 39 pemohon.

“Kesemua suspek juga dipercayai menerima wang rasuah secara tunai dan juga melalui transaksi pindahan ke akaun bank masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Karunanithy Y. Subbiah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a(A) Akta SPRM 2009. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas