POLIS menerima laporan berhubung kes pergaduhan antara seorang penghantar makanan dan pengawal keselamatan di sebuah bangunan di Persiaran Tun Razak, seperti tular di media sosial hari ini.
Berdasarkan dua rakaman video dari akaun Facebook Azhar Junny berdurasi tiga minit 15 saat dan dua minit 15 saat telah menunjukkan berlaku perselisihan faham antara dua lelaki itu sehingga mencetuskan pergaduhan antara penghantar dan seorang lelaki memakai jaket merah yang juga rakan kepada pengawal keselamatan tersebut.
Menerusi hantaran pada video berkenaan yang berlaku pada pukul 3.20 petang semalam, penghantar makanan itu didakwa tidak dibenarkan masuk ke dalam bangunan namun pelanggannya bertegas supaya penghantar itu masuk ke bangunan berkenaan dan mahu bertanggungjawab sekiranya berlaku sebarang kejadian.
Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Superintendan Naazron Abd Yusof dalam satu kenyataan berkata pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu.
“Polis sudah mengenal pasti saksi kejadian dan memanggil lima individu terlibat untuk diambil keterangan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan seterusnya akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan
apa-apa kesalahan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang dan
tindakan akan diambil kepada mana-mana pihak yang terlibat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222.-WILAYAHKU