LIMA band terkenal bakal mengegarkan Pentas Healing, Gamon Music Fantasia yang bakal berlangsung 25 Januari depan di Setia Spice Arena, Pulau Pinang.
Mereka adalah Hujan, Bunkface, Ruffedge serta dua band dari Indonesia, D’Masiv dan Kangen Band.
Dua band Indonesia itu dijangka membawa impak terhadap konsert dibawakan Ladyboss Entertainment dan COF Musi kerana untuk julung kalinya, mereka dibawa beraksi di luar Kuala Lumpur.
Konsert yang dijangka berlangsung selama tiga jam itu mendapat sambutan mengalakkan apabila 2,000 tiket sudah pun terjual meskipun publisiti belum dibuat secara meluas.
Pengurus Projek, Syafiq Danish berkata, Pentas HEALING yang berlangsung di tujuh lokasi sebelum ini mendapat sambutan hebat dari peminat.
Malah idea penganjuran Gamon Music Fantasia juga dicetuskan peminat yang meminta agar dianjurkan konsert lebih besar dan gah.
“Memang kami rancang untuk buat di Pulau Pinang kerana kebanyakan peminat dari show sebelum ini berasal dari Utara tanah air.
“Faktor utama pemilihan band pula dibuat bersandarkan kepada populariti, sokongan peminat dan kualiti muzik, selain sesuai dengan genre yang kami bawakan,” katanya.
Menurutnya Syafiq lagi, bagaimanapun ada di antara band tidak berkonsepkan ‘healing’ sebaliknya gabungan pop rock.
“Pemilihan mereka dibuat hasil tinjauan dengan peminat. Daripada konsert yang dibuat sebelum ini, ada undian peminat mahukan nama-nama ini.
“Kami pernah buat pentas sama di Ipoh dan dalam 10 minit sebanyak 2,000 keping berjaya terjual.
“Kali ini Pulau Pinang menjadi pilihan kerana tiada lagi mana-mana konsert yang sebesar itu diadakan di sana,” katanya lagi. – WILAYAHKU