MALAYSIA sering kali digambarkan dengan masyarakat yang berbilang kaum dan harmoni serta kaya dengan pelbagai adab‚ adat dan budaya. Namun begitu‚ dalam kalangan masyarakat hari ini masih wujud gejala membuli dan ini sangat merisaukan kerana ia boleh menjadi satu norma masyarakat kita hari ini.
Gejala buli ini bukan sahaja berlaku dalam institusi pendidikan, di tempat kerja atau dalam kalangan ahli keluarga sahaja‚ tetapi ia boleh berlaku dan dilihat semakin meruncing di alam maya atau siber.
Hari ini mangsa buli bukan sahaja dilihat melalui kecederaan fizikal semata-mata‚ tetapi kecederaan mental dan emosi terhadap mangsa semakin membimbangkan kerana pembuli hari ini turut menggunakan lidah serta tangan mereka untuk berkata-kata.
Sering kali dipaparkan di media massa dan juga di dada-dada akhbar‚ ada mangsa yang dibuli sehingga membawa kepada kecederaan serius‚ dan yang lebih membimbangkan adalah buli siber turut mengakibatkan kehilangan nyawa.
Tidak dinafikan‚ mangsa buli sudah pasti akan berhadapan dengan tekanan emosi yang kritikal kerana yang dilemparkan kepada mereka.
Melihat kepada ragam pembuli siber hari ini‚ mereka menjadikan tangan-tangan mereka sebagai lidah untuk mereka berkata-kata di alam maya. Benarlah‚ lidah ini satu nikmat yang Allah SWT berikan kepada manusia‚ sifatnya lembut tidak bertulang‚ tetapi tajam ibarat pedang sehingga boleh membunuh dan melukakan hati insan yang mendengarnya. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Al-Tirmizi‚ Rasulullah SAW pernah ditanyakan sebab kebanyakan orang dimasukkan ke dalam syurga. Baginda menjawab: “Bertakwa kepada Allah dan baik akhlaknya.” Lalu baginda ditanyakan lagi sebab kebanyakan manusia dimasukkan ke dalam neraka? Baginda Menjawab: “Mulut dan kemaluan”.
Allah SWT juga ada berfirman dalam surah Al-Hujurat‚ ayat 11 yang mana ayat ini Allah memberikan peringatan kepada lelaki dan perempuan mengenai larangan untuk melakukan perbuatan mencemuh‚ memerli‚ menghina serta memberikan gelaran yang buruk kepada orang lain.
Di sini jelas kita tidak boleh menghina orang atau melontarkan perkataan yang tidak baik serta memberikan gelaran yang buruk kepada seseorang sama ada di hadapan atau di belakangnya kerana Allah berfirman pada akhir ayat surah ini iaitu orang beriman itu bersaudara dan janganlah pula kita merosakkan atau memutuskan persaudaraan itu.
Jika kita lihat‚ perbuatan menghina‚ mencaci yang dilakukan oleh pembuli siber ini bukan sahaja dilarang oleh agama Islam semata-mata‚ tetapi agama-agama lain juga turut melarang para penganutnya untuk melakukan perbuatan yang boleh menyakiti individu yang lain.
Seorang pakar ilmuan agama pernah menyebut‚ “Saya tidak takut dengan keyboard warriors‚ tetapi saya takut dengan keyboard sinners.” Jadi para keyboard warriors di luar sana anda yang mana satu? Buat pilihan yang bijak kerana setiap perbuatan anda akan dipersoalkan kelak.
KONSEP 3R
Pembuli siber mungkin sedar atau tidak sedar bahawa perbuatan buli ini meninggalkan parut kepada mangsanya. Mangsa buli kebiasaannya akan berhadapan dengan kecederaan emosi yang teruk‚ isu berkaitan psikologi‚ trauma dan sebagainya. Jadi dikongsikan di sini konsep 3R yang boleh diaplikasi oleh mangsa buli bagi memastikan mereka tenang dan sedar tentang emosi yang mereka alami.
Retract‚ iaitu berundur seketika daripada perbuatan yang kita lakukan. Contohnya‚ jika waktu itu mangsa buli siber berada dalam situasi yang tegang‚ berundur seketika dapat memberikan ruang masa pada diri agar dapat bertenang. Berundur di sini bermaksud cuba ambil masa untuk tenangkan diri dari sudut pemikiran dan emosi sambil mengamalkan teknik pernafasan yang betul. Teknik pernafasan boleh dilaksanakan dengan menarik‚ menahan‚ menghembus dan seterusnya menahan nafas dan setiap peringkat ini dilaksanakan dalam tempoh empat sana. Perhatikan bahawa‚ teknik pernafasan yang tepat ini akan memberikan anda kelegaan pada badan‚ pemikiran dan membantu anda untuk kekal fokus.
Rethink‚ fikirkan adakah perkataan yang disebutkan atau penulisan orang lain sebenarnya dapat memberikan kesan pada diri? Ketahuilah tiada siapa pun yang dapat membuat apa-apa pun pada anda sekiranya anda tidak membenarkan ia berlaku. Sebagai contoh‚ sekiranya anda diejek atau dicemuh‚ ambil masa untuk tenangkan diri dan anda akan menjadi lebih jelas dan rasional dalam setiap pemikiran yang wujud dalam diri. Anda lebih faham bahawa orang yang membuli itu sebenarnya mempunyai isu dengan diri mereka dan menzahirkan dengan cara penulisan atau percakapan mereka terhadap orang lain. Jadi‚ ambillah masa yang lebih lama sekiranya anda perlu bertenang dan berfikir secara rasional.
Respons iaitu kita memberikan tindak balik yang positif serta bersesuaian mengikut situasi dan keadaan yang berlaku. Sekurang-kurangnya kita dapat mengelakkan diri daripada bertingkah laku mengikut kehendak emosi‚ perasaan dan pemikiran yang negatif. Sekiranya anda berasa sedih atau marah‚ tidak salah untuk anda validasi perasaan tersebut dan bangkit semula untuk menjadi lebih resilient dalam mendepani sebarang masalah.
Jadi pesanan buat semua berhati-hati dalam melontarkan kata-kata‚ jangan kerana lidah badan binasa dan jangan kerana mulut membuatkan orang lain terasa. Fikirkan terlebih dahulu sebelum mula bicara atau bertingkah laku dan jangan jadikan perbuatan buli ini sebagai satu norma kepada masyarakat hari ini, kerana setiap perbuatan yang kita lakukan sekarang akan membentuk generasi negara pada masa akan datang.
Buat masyarakat semua kita perlu mengambil cakna dengan keadaan orang sekeliling kita‚ mungkin ada dalam kalangan keluarga‚ jiran tetangga atau rakan-rakan terdekat kita yang menjadi mangsa buli ini.
Berikan bantuan‚ laporkan kepada pihak berkuasa‚ atau bawa mereka dapatkan bantuan daripada ahli profesional supaya mereka mendapat kesejahteraan dari segi fizikal‚ emosi dan juga mental. Jangan berdiam diri sahaja‚ kerana anda mangsa dan anda berhak mendapatkan keadilan.
REKRUT SUKARELAWAN MIV
SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui inisiatif Sukarelawan ICT Malaysia atau Malaysia ICT Volunteer (MIV) merekrut dan melatih 11‚335 sukarelawan sejak diperkenalkan pada tahun 2016. Tahun ini‚ MCMC menyasarkan untuk merekrut 1‚500 sukarelawan di seluruh negara.
Bagi memastikan maklumat diterima kepada semua lapisan masyarakat mencakupi penduduk di luar bandar‚ para sukarelawan MIV terdiri daripada guru-guru sekolah rendah dan sekolah menengah‚ pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi dan ahli komuniti setempat.
Selain memperkasakan komuniti dengan kemahiran literasi digital‚ sukarelawan MIV turut menyokong pelaksanaan inisiatif keselamatan dalam talian MCMC iaitu Klik Dengan Bijak (KDB) dengan meningkatkan kesedaran serta memberi pendidikan tentang penggunaan Internet yang positif‚ produktif dan bertanggungjawab.
Antara topik KDB yang dikongsi kepada komuniti termasuklah buli siber‚ jenayah penipuan dalam talian serta perlindungan kanak-kanak dalam talian. Inisiatif ini mendidik pengguna Internet khususnya dalam kalangan pelajar untuk melindungi diri daripada menjadi mangsa.
Sesi perkongsian KDB turut melibatkan para guru dan ibu bapa supaya mereka dapat menyampaikan mesej keselamatan kepada kanak-kanak termasuk golongan kurang upaya dan mereka yang berisiko terdedah kepada ancaman dalam talian.
Pelaksanaan MIV ini memperlihatkan kerjasama MCMC dengan pelbagai agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia‚ Kementerian Pendidikan Malaysia serta Kementerian Kesihatan Malaysia. Inisiatif MIV turut diperluaskan di komuniti yang mempunyai Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
PENULIS Profesor Madya Dr Azmawaty merupakan Timbalan Dekan (Program Ijazah Dasar)‚ Fakulti Pendidikan dan anggota Lembaga Kaunselor Malaysia manakala Nur Nadhirah‚ Kaunselor Pelatih‚ Fakulti Pendidikan‚ Universiti Malaya.