Berita

LHDN Pahang kembali beroperasi Isnin ini

- Diterbit 13 Februari 2021 6:23 AM MYT

OPERASI semua kaunter perkhidmatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di negeri Pahang dibuka mulai Isnin (15 Feb) ini.

Menerusi satu kenyataan, LHDN berkata kaunter setempat (perkhidmatan percukaian), kaunter Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan kaunter duti setem dibuka setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula 8 pagi hingga 1 tengah hari.

“Bagi kaunter duti setem, pembayaran hanya diterima sehingga 12 tengah hari sahaja,” katanya.

LHDN mengingatkan semua pelanggan yang datang berurusan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Orang ramai yang ingin membuat sebarang pertanyaan atau mendapatkan maklum balas boleh menghubungi LHDN menerusi Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (luar negara) atau HASiL Live Chat atau Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDN di pautan https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas