Berita

Letupan paip gas Putra Heights: 38 masih dirawat, tiada kematian dilaporkan

EMPAT pelajar IPT yang terjejas dan menjadi mangsa insiden letupan paip gas ditempatkan di PPS
- Diterbit 6 April 2025 6:30 PM MYT

SEBANYAK 38 daripada keseluruhan 146 mangsa yang terlibat dalam tragedi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights pada Selasa lalu masih menerima rawatan di hsopital dan klinik.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sehingga 12 tengah hari ini tiada sebarang kematian dilaporkan.

“Daripada 38, seramai 18 mangsa dirawat di wad biasa hospital kerajaan manakala 20 mangsa lagi di kemudahan kesihatan swasta.

“Tiada mangsa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) ketika ini,” katanya menerusi data harian yang dikeluarkan KKM pada Ahad.

Menurutnya lagi seramai 13 pesakit di Hospital Putrajaya, dua di Hospital Kuala Lumpur dan masing-masing satu di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang; Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital Ampang.

Menurut kementerian itu aktiviti Perkhidmatan Sokongan Kesihatan Minda dan Psikososial (MHPSS) turut dijalankan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Dewan Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia serta di Hospital Putrajaya (HPj) dengan 88 individu menerima intervensi MHPSS. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas