Berita

Lelaki pukul isteri hingga cedera kerana tutup pintu dengan kuat ditahan

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 3 Januari 2024 2:05 PM MYT

POLIS menahan seorang lelaki yang disyaki memukul isterinya sehingga mengalami kecederaan semasa bertengkar, dikatakan semata-mata kerana marahkan isterinya itu kerana menutup pintu dengan kuat di rumah mereka di Taman Maju Jaya, Ampang di sini, dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata pengadu yang berumur 40 tahun itu mengalami lebam pada badan di samping kecederaan pada bahagian kaki dan tangan, dalam kejadian pada kira-kira pukul 2 pagi itu.

Beliau berkata suspek berusia 45 tahun ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada pukul 5.25 petang semalam, dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan, dan di bawah Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga.

“Permohonan reman terhadap suspek di Mahkamah Ampang dipohon hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas