POLIS mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki di tapak pembinaan Bangsar Hill Park semalam sebagai kes mati mengejut (Sudden Death Report, SDR) selepas hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian dada akibat jatuh dari tempat tinggi.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Polis (CP) Datuk Rusdi Mohd Isa, pihak polis menerima maklumat berhubung penemuan mayat tersebut pada 4 Jun 2025 jam 4.30 petang.
“Mangsa ditemui dalam keadaan terlentang di ruang lif tingkat bawah bangunan dalam pembinaan di lokasi kejadian, ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Rusdi, mayat telah dikeluarkan oleh pihak bomba sebelum dihantar ke Jabatan Forensik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat yang dijalankan pada pagi 5 Jun.
“Hasil siasatan perubatan mengesahkan punca kematian sebagai “chest injury due to fall from height” (kecederaan dada akibat jatuh dari tempat tinggi), ” katanya.
Beliau turut berkta tiada sebarang unsur jenayah ditemui di lokasi kejadian, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mayat lelaki berkenaan telah dikenal pasti oleh ahli keluarga, iaitu bapa saudara mangsa, berdasarkan tatu pada tubuh badan.
“Siasatan turut mengesahkan bahawa mangsa adalah individu yang sebelum ini dilaporkan hilang pada 2 Jun 2025,” katanya.
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Hotline Polis Putrajaya di 03-8886 2222, atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.-WILAYAHKU