Artikel

Lega jaminan Zaliha

Foto: BERNAMA
- Diterbit 6 September 2024 3:10 PM MYT

ORANG ramai dan warga kota khususnya tidak perlu bimbang mengenai tahap keselamatan di ibu negara ekoran tanah jerlus di Jalan Masjid India‚ Kuala Lumpur‚ pada 23 Ogos lalu. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memberi jaminan keadaan adalah selamat.

Dalam kejadian tersebut‚ seorang warga India‚ Vijayaletchumy‚ 48‚ terjatuh ke dalam lubang jerlus. Segala usaha mencari dan menyelamat (SAR) telah dijalankan untuk beberapa hari tetapi gagal menemuinya. Setelah lebih seminggu‚ kerja mencari dihentikan.

Tambahan kerja mencari mencabar dan berbahaya kepada petugas terlibat. Terdapat risiko gas beracun‚ aliran air deras‚ laluan yang kecil serta aliran air kumbahan.

Selepas kejadian pertama‚ tanah jerlus kedua berlaku hanya 50 meter dari kawasan jerlus pertama pada 28 Ogos. Pada masa sama berlaku juga tanah jerlus di Kampung Kerinchi pada 26 Ogos.

Ini menyebabkan wujud kebimbangan mengenai keselamatan keseluruhan di bandar raya. Oleh itu‚ kawan-kawan Kedai Kopi percaya kebimbangan ini reda berikutan kenyataan Dr Zaliha. Beliau memberi jaminan keadaan di Kuala Lumpur adalah selamat di sebalik tragedi yang berlaku.

Jaminan ini sangat bermakna bagi warga kota agar mereka boleh melalui kehidupan seharian dalam keadaan tenang. Keadaan di Jalan Masjid India juga sudah kembali seperti biasa. Orang ramai kembali sibuk dan aktiviti perniagaan lancar.

Kawan-kawan Kedai Kopi berharap kita sama-sama berusaha dan berdoa agar kejadian tanah jerlus tidak berulang. Kita percaya pihak berkuasa akan sentiasa memantau kawasan-kawasan yang dianggap berpotensi berlaku tanah mendap bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas