SEBANYAK RM1,715,053.00 nilai kompaun telah ditawar dan dijelaskan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hasil daripada operasi bersepadu menerusi Ops Pharma sepanjang tahun lalu.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata sebanyak RM137,517.69 nilai harta alih telah dilucutkan dan dijadikan hasil kerajaan Malaysia dalam tempoh sama.
“Sebanyak RM1,852,570.69 telah berjaya dipulihkan untuk dijadikan hasil Kerajaan Malaysia daripada kes yang telah dikenakan tindakan pelucuthakan tanpa pendakwaan dan menerusi pengkompaunan.
“Jumlah ini akan meningkat selepas beberapa lagi kes yang sedang dalam siasatan dan pendakwaan di mahkamah selesai,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KPDN hari ini.
Menurut Azman, pada tahun yang sama juga, sejumlah Rm21,217,979.11 nilai pembekuan telah dibuat melibatkan harta alih dalam institusi kewangan.
“Tindakan penyitaan yang turut dilaksanakan dengan nilai sejumlah RM1,043.601.77 harta alih dalam institusi kewangan, harta tak alih dengan nilai RM2,607,181.00 dan wang tunai sebanyak RM84,964.00. Ini menjadikan nilai penyitaan keseluruhan bagi 2023 sebanyak RM3,735,746.77.
“Berdasarkan statistik kes bermula tahun 2016 hingga 2023, sejumlah RM56,628,198.30 harta berjaya dilucuthakkan, RM2,419,053 kompaun dan RM12 juta denda telah dikutip dan dikenakan.
“Ia menjadikan jumlah keseluruhan hasil kerajaan menerusi penguatkuasaan Akta 613 oleh Bahagian Penguat Kuasa KPDN sepanjang tempoh tersebut adalah sebanyak RM71,047,251.30,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata tiga modus operandi utama ‘popular’ dikesan digunakan oleh peniaga bagi melakukan aktiviti jenayah pengubahan wang haram atau cuci duit haram di negara ini.
Katanya, modus operasi itu dikesan hasil operasi yang dilaksanakan pasukannya dalam menguatkuasakan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) sepanjang tahun lalu.
“Modus operandi yang sering digunakan oleh peniaga adalah melalui beberapa kaedah. Pertamanya menerusi secara langsung iaitu memasukkan hasil haram ke dalam akuan perniagaan atau individu yang dicampur aduk denagn hasil perniagaan sah.
“Kedua, secara penstrukturan iaitu dengan memasukkan ke dalam akaun perniagaan atau individu lain, mewujudkan ‘shell company’, membeli aset atau membuat pelaburan, membayar pinjaman, insuran dan lain-lain secara berstruktur.
“Ketiga adalah menerusi ‘hawala’ iaitu sistem penghantaran wang tanpa melalui lingkungan sistem perbankan atau syarikat kewangan berlesen yang membabitkan rentas sempadan,” katanya.
Mengulas lanjut, Azman berkata KPDN turut berdepan beberapa cabaran dalam menguat kuasakan Akta 613 antaranya membabitkan penggunaan transaksi aktiviti haram secara tunai dan tidak melalui sistem perbankan atau menggunakan ‘mule account’.
“Penglibatan badan profesional seperti akauntan dan setiausaha syarikat sebagai individu atau organisasi yang menyediakan perkhidmatan profesional yang membantu melakukan aktiviti pengubahan wang haram turut menjadi cabaran siasatan.
“Cabaran akan datang yang perlu dihadapi adalah penggunaan transaksi matawang kripto yang pelbagai dan ia bukan mata wang yang sah diperlakukan di Malaysia.
“Oleh yang demikian, tindakan berterusan akan dilaksanakan oleh Seksyen Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Bahagian Penguat kuasa KPDN untuk memperkasakan penguatkuasaan Akta 613 dan memperolehi kembali hasil haram yang diperolehi di bawah undang-undang sedia ada bagi tujuan dijadikan hasil Kerajaan.
“Bahagian ini akan terus bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan termasuk kerjasama dengan Jabatan Peguam Negara bagi tujuan perkongsian latihan, maklumat risikan dan operasi,” katanya. – WILAYAHKU