INSIDEN kematian pada konsert Pinkfish di Malaysia pada malam tahun baharu melibatkan empat individu ekoran dadah mencetuskan perbincangan mengenai langkah keselamatan yang lebih ketat di acara tersebut.
Berikutan insiden tersebut, Kerajaan Negeri Selangor mencadangkan pelaksanaan ujian air kencing sebagai sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) untuk penonton konsert bagi mengekang penggunaan dadah.
Walau bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan tidak menerima pakai cadangan tersebut.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyatakan bahawa tiada rancangan segera untuk menguatkuasakan saringan sedemikian, tetapi kerajaan akan terus menilai keperluan perubahan kepada SOP konsert dengan kerjasama agensi berkaitan.

Menurut Pensyarah Kanan Komunikasi Liberal, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Abdul Aziz Azizam, pihaknya bersetuju dengan langkah diambil kerajaan dalam menangani masalah berkenaan serta berpendapatan tiada keperluan untuk menjalankan ujian air kencing ke atas pengunjung konsert.
“Pertama sekali, dari segi keberkesanan dan pengendalian, ia menimbulkan banyak persoalan. Bagaimana ia akan dilaksanakan? Bagaimana ia boleh dilakukan secara berkesan dan menyeluruh? Banyak laporan juga menunjukkan bahawa keberkesanannya diragui oleh faktor kesan masa.
“Selain itu, dari segi pengendalian, jika jumlah yang diperiksa kecil, mungkin tidak menjadi masalah. Tetapi jika melibatkan jumlah yang besar, ia akan menimbulkan pelbagai cabaran logistik dan operasi,” katanya kepada Wilayahku.
Abdul Aziz berkata antara perkara yang perlu diperhalusi sekiranya hendak melaksanakan saringan berkenaan adalah kos kerana ia melibatkan perbelanjaan tinggi.
“Kos pelaksanaan ujian ini pasti tinggi dan akan membebankan pihak tertentu.
“Lebih baik jika usaha ditumpukan kepada peningkatan pengawasan dan pengawalan semasa konsert atau di tempat-tempat keramaian yang lebih efektif diperlukan,” katanya.
Beliau berkata pihak berkuasa perlu mencari kaedah dan mencari solusi untuk langkah jangka masa panjang seperti kempen kesedaran dan sebagainya yang lebih memberi impak.
“Langkah ini bukan sahaja lebih praktikal, tetapi juga lebih sesuai dalam menangani isu penyalahgunaan bahan terlarang di acara hiburan untuk jangka masa panjang,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata proses pengumpulan dan analisis sampel air kencing mengambil masa lama sekali gus menyifatkan cadangan tersebut tidak praktikal untuk dilaksanakan.
Jelasnya, ia berdasarkan pemerhatian atau kecurigaan terhadap kelompok pengunjung tertentu yang mungkin membawa barang terlarang seperti dadah, namun pemeriksaan atau ujian air kencing boleh dibuat secara rawak terhadap individu tertentu. – WILAYAHKU