Berita

Lebih 41 ribu kemalangan berkaitan kerja setakat Jun 2024

Foto: BERNAMA
- Diterbit 3 September 2024 11:27 AM MYT

SEBANYAK 41,278 kemalangan berkaitan kerja dilaporkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) setakat Jun tahun ini, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim.

Ketika berucap pada Persidangan Keselamatan Jalan Raya Asia (CARS) di sini hari ini, beliau berkata 52.1 peratus atau 21,503 kes yang dilaporkan merupakan kemalangan industri manakala 19,770 kes berkaitan perjalanan.

“Tragiknya, 515 kemalangan ini ialah kemalangan maut. Secara spesifiknya 31.7 peratus atau 163 kematian adalah akibat kemalangan industri dan 68.3 peratus atau 352 kematian berkaitan perjalanan,” katanya.

“Ini menunjukkan keperluan mendesak untuk memperbaharui dan mempergiat usaha bagi menangani cabaran keselamatan jalan raya. Kita mesti bertindak tegas untuk menghentikan peningkatan ini dan berusaha ke arah mencapai jalan raya yang lebih selamat untuk semua,” katanya.

Beliau berkata Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022–2030 bertujuan mengurangkan bilangan mangsa maut secara ketara.

“Pelan tindakan tiga tahun pertama (2022–2024) memfokuskan pada mewujudkan platform tadbir urus dan mekanisme untuk secara berkesan memantau dan menilai intervensi keselamatan jalan raya melibatkan 10 bidang.

“Memandangkan kita menghampiri penghujung pelan tindakan pertama ini, sudah tiba masa untuk menyemak kemajuan, memperhalusi strategi dan bersedia untuk rancangan tiga tahun akan datang (2025–2027) bagi mengurangkan kematian akibat kemalangan jalan raya,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas