Berita

Lebih 180,000 penghantar makanan Grab Malaysia terima tajaan caruman SKSPS – Steven Sim

Kredit: BERNAMA
- Diterbit 4 Jun 2024 4:28 PM MYT

LEBIH 180,000 rakan pemandu (e-hailing) dan penghantar (p-hailing) Grab Malaysia menerima tajaan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Beliau berkata tajaan perlindungan itu adalah di bawah kendalian syarikat berkenaan untuk tempoh perlindungan selama 12 bulan bermula dari tarikh mereka didaftarkan.

“Tajaan Grab Malaysia adalah menerusi inisiatif Belanjawan 2024, di bawah geran padanan caruman SKSPS di mana 90 peratus ditanggung kerajaan manakala baki 10 peratus ditaja pihak Grab Malaysia untuk lebih 180,000 rakan pemandu dan rakan penghantar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran tajaan caruman SKSPS dan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Grab Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Pengerusi Lembaga Perkeso Datuk Seri Subahan Kamal serta Pengarah Operasi dan Mobiliti Grab Malaysia Rashid Shukor.

Sim berkata melalui inisiatif tersebut, perlindungan percuma diberikan kepada mereka yang layak sekali gus berupaya mengurangkan beban pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing dalam mendapatkan perlindungan bagi menjamin keselamatan dan keluarga mereka sekiranya ditimpa bencana sewaktu menjalankan aktiviti pekerjaan.

Sementara itu Rashid dalam ucapannya berkata Grab Malaysia berbesar hati meneruskan kerjasama dengan Perkeso dalam menaja caruman dibuat pemandu dan penghantar melalui program caruman SKSPS, selaras komiten Grab yang menyediakan peluang pendapatan fleksibel sambil menjaga kebajikan mereka.

“Malah dalam usaha menggalakkan lebih ramai rakan untuk mendaftar SKSPS, Grab juga akan memanfaatkan platform dan saluran yang berkaitan untuk memacu kesedaran dan pendidikan lanjut dalam kalangan rakan pemandu dan penghantar di seluruh negara,” katanya.- BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas