Berita

Lebih 10,000 pesakit Hepatitis C pulih selepas dirawat dengan Ravidasvir-Sofosbuvir

MENURUT Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, rawatan itu berjaya mengurangkan risiko kematian akibat penyakit hati yang kronik. Kredit foto oleh - Hepatitis C online
- Diterbit 14 Jun 2021 1:07 PM MYT

LEBIH 10,000 pesakit di Malaysia sembuh daripada jangkitan virus Hepatitis C (HCV) selepas menerima rawatan selama tiga hingga enam bulan menggunakan kombinasi sejenis ubat baharu, Ravidasvir dengan antivirus sedia ada dengan kos berpatutan yang bertindak secara langsung (DAA), Sofosbuvir.

Ketua  Gastroenterologi dan Hepatologi Kementerian Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata rawatan itu berjaya mengurangkan risiko kematian akibat penyakit hati yang kronik dan sejajar dengan matlamat Malaysia menghapuskan HCV menjelang 2030.

“DAA ini mampu menyembuhkan dan ia telah mengubah landskap hepatitis C termasuk mereka yang dijangkiti dengan genotip 3 virus itu, yang sukar dirawat.

Bagi saya, bilangan orang yang telah sembuh merupakan satu pencapaian besar memikirkan keadaan COVID-19 di dalam negara dan kami sudah memulakannya dalam pertengahan 2018,” katanya dalam satu sidang media maya mengenai rawatan hepatitis C hari ini.

Antara panelis di dalam sidang media maya itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Pharco Corporation (Pharco) Dr Sherine Helmy, Pengarah Hal Ehwal Kawal Selia Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) Sharifah Fauziyah Syed Mohthar, Pengarah Drugs for Neglected Disease initiative (DNDi) Asia Tenggara Jean-Michel Piedagnel dan Pengarah Third World Network Chee Yoke Ling.

Dr Muhammad Radzi berkata bagi memastikan lebih banyak pesakit dapat disembuhkan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah melakukan saringan aktif dengan memperkenalkan ujian diagnostik kepada semua kemudahan kesihatan dan meluaskannya ke penjara, pusat pemulihan, pusat persendirian dan doktor.

Ravidasvir  adalah ubat pertama untuk HCV dibangunkan menerusi kerjasama Selatan-Selatan dengan sokongan dana dan klinikal daripada organisasi yang tidak berasaskan keuntungan.

Pada 4 Jun, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (DCA) meluluskan pendaftaran bersyarat untuk Tablet Ravida 200mg, sejenis rawatan selamat dan berkesan untuk hepatitis C dibangunkan oleh perkongsian kerajaan dan swasta itu.

Perkongsian itu membawa KKM, organisasi penyelidikan dan pembangunan tidak berasaskan keuntungan DNDi, syarikat farmasi Mesir Pharco, syarikat farmasi Malaysia Pharmaniaga dan badan bukan kerajaan Doctors Without Borders (MSF) untuk berganding bahu dalam usaha itu.

Sementara itu, Dr Noor Hisham dan KKM sedang melihat satu strategi bersepadu yang akan membolehkan ujian diagnostik dan rawatan hepatitis C dalam komuniti.

“Hasrat kami sekarang ialah memperkenalkan bukan sahaja pemencaran daripada peringkat penjagaan tinggi kepada peringkat penjagaan rendah tetapi juga membolehkannya didapati di semua klinik kami di kawasan bandar mahupun di luar bandar. Kami mempunyai lebih daripada 3,000 klinik di Malaysia dari Perlis ke Tawau, Sabah.

Ini merupakan satu strategi bersepadu yang penting.  Inilah cara pendekatan kami menggunakan langkah penjagaan kesihatan awam.  Adalah penting untuk kami melabur dalam kesihatan awam, di sinilah di mana pencegahan diperlukan dan ia akan menjimatkan kos untuk 10 tahun akan datang kepada negara.

Dr Noor Hisham berkata memandangkan DCA sudah meluluskan Ravidasvir, ia akan mengambil masa beberapa bulan untuk KKM menghantar perolehan itu untuk semua klinik menjelang suku akhir tahun ini atau tahun depan.

Beliau juga berkata KKM juga meneroka kemungkinan untuk merawat pesakit hepatitis C hanya untuk lapan minggu berbanding kepada rawatan 12 minggu pada masa ini, supaya ia akan dapat mengurangkan kos kepada satu pertiga.

“… melihat kepada kos US$300 dengan harga pasaran yang kompetitif, kami menjangkakan untuk menurunkannya kepada US$200, itu sasaran kami.  Saya rasa ia boleh dicapai dan semoga dalam beberapa tahun mendatang harganya akan menjadi lebih rendah.  Moga-moga 10 tahun akan datang dengan pengenalan rawatan ini kami menjangkakan kosnya akan berada di bawah US$100,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas