Berita

Lebih 1,000 menu menanti pengunjung Festival Ramadan Putrajaya 2024

- Diterbit 15 Mac 2024 2:57 PM MYT

SETIAP kali tibanya Ramadan, kemeriahannya lebih terasa dengan adanya penganjuran bazar bagi memudahkan orang ramai mendapatkan juadah berbuka puasa.

Menyediakan 700 lot niaga, Bazar Ramadan Putrajaya terus menjadi tumpuan bagi warga kota mencari pelbagai juadah enak untuk berbuka puasa seperti nasi Arab, makanan laut bakar, yong tau foo, nasi ambeng, martabak, aneka kuih-muih, roti john serta bermacam pilihan air buat para pengunjung.

Kembali dengan skala yang lebih besar melibatkan lima lokasi bazar Ramadan dan satu lokasi bazar Aidilfitri bermula 8 Mac, penganjuran Festival Ramadan Putrajaya 2024 (FRP2024) kali ke-12 dijangka menarik kehadiran 800,000 pengunjung dalam kalangan pelancong domestik dan antarabangsa.

Bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai FRP2024, ikuti sesi wawancara eksklusif wartawan Wilayahku, SABRINA SABRE bersama Pengarah Bahagian Pelesenan, Jabatan Perkhidmatan Bandar Perbadanan Putrajaya (PPj), JEFFRI MUSTAPA.

Apakah matlamat FRP2024 pada kali ini?

Objektif utama FRP dilaksanakan bertujuan untuk menjadikan Putrajaya sebagai pusat sehenti menjual juadah berbuka puasa dan barangan keperluan hari raya selain dilihat dapat mengeratkan hubungan sesama keluarga dan masyarakat.

Di samping itu, penganjuran festival ini juga diharap berupaya menyokong perkembangan serta pemulihan ekonomi Putrajaya dan negara selain memberi peluang perniagaan kepada penjaja juga peniaga kecil untuk menambah pendapatan mereka.

Apakah tarikan utama penganjuran pada tahun ini?

Penganjuran FRP2024 yang bertemakan Seindah Ramadan, Harmoni Lebaran ini melibatkan lima komponen utama iaitu Bazar Ramadan, Anjung Syawal, Kiblat Walk, Laman Iftar serta Food Truck dengan lokasi terlibat di Dataran Putrajaya Presint 3, Kompleks PPj dan lima lokasi bazar Ramadan iaitu di Presint 3, Presint 9, Presint 11, Presint 14 dan Presint 16.

Untuk FRP kali ini, Bazar Ramadan Putrajaya menyediakan lebih 1,000 menu pilihan juadah berbuka puasa untuk dibawa pulang atau pengunjung boleh menikmatinya di kawasan yang telah disediakan pihak PPj.

Selain itu, kami turut menyediakan Jualan Bazar Aidilfitri dengan lebih 250 peniaga selama 30 hari Ramadan dan empat hari jualan sebelum Ramadan iaitu bermula 8 Mac hingga 9 April ini.

Dalam masa sama, pelbagai pengisian aktiviti kerohanian seperti ceramah agama, tazkirah, nasyid dan lain-lain di Pentas Utama Festival turut disediakan pada setiap hari di bulan Ramadan.

Selain jualan juadah berbuka puasa dan barangan keperluan hari raya, apakah tarikan lain yang bakal menarik minat pengunjung?

Kami turut melakukan edaran lebih 5,000 pek bubur lambuk pada setiap hari Jumaat selain menyediakan lokasi berbuka puasa secara piknik yang boleh memuatkan sehingga 1,000 orang dalam satu masa.

Seterusnya, pengunjung juga dapat menunaikan solat Tarawih di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin yang akan diimamkan oleh imam jemputan dari luar negara serta penganjuran kempen-kempen kesedaran kepada orang ramai seperti Kempen Jom Bawa Beg Dari Rumah, Kempen Kebersihan, Kempen Jualan Minyak Terpakai, Kempen Jom Balik Kampung dan banyak lagi.

Pengunjung yang hadir ke FRP2024 juga berpeluang mengikuti pelbagai program dan aktiviti mingguan dengan tema yang berlainan iaitu kesenian, kecantikan, sukan dan Islamik.

Kesemua program akan turut disertai dan dimeriahkan dengan kehadiran ramai tetamu jemputan seperti artis dan selebriti popular tempatan, penceramah serta banyak lagi.

Sasaran pengunjung yang dijangka hadir ke FRP2024?

Dengan jualan lebih daripada 700 orang peniaga, FRP kali ini menyasarkan lebih 800,000 orang pengunjung dan pelancong ke Putrajaya seterusnya dapat merancakkan lagi sektor ekonomi menerusi pelancongan acara.

Bagi pengunjung yang hadir, kita akan menyediakan kemudahan asas dan infra seperti tempat solat yang luas dan selesa, tandas, kerusi meja berkonsepkan outdoor cafe, pusat informasi, bank dan paling penting tempat letak kereta yang luas dan banyak.

Penganjuran FRP 2024 dilaksanakan oleh PPj sahaja atau ada kerjasama dengan mana-mana rakan strategik?

Tahun 2024 merupakan tahun kedua FRP dianjurkan dengan kerjasama Ingenious Creative Lab (M) Sdn Bhd.

Tahun ini kami menyuntik kelainan pada FRP yang mana kita mengetengahkan elemen Timur Tengah bagi memberikan suasana menarik buat pengunjung.

Konsep ini akan membawa pengunjung menikmati suasana yang memikat dari budaya Timur Tengah yang kaya dengan sejarah, seni dan tradisi. Elemen dan konsep ini juga diyakini dapat menambah kemeriahan dalam menyambut Ramadan dan lebaran di FRP2024.

Harapan bagi FRP2024 pada tahun ini?

Kami selaku pihak berkuasa tempatan (PBT) di Putrajaya berharap FRP2024 dapat menarik kehadiran orang ramai ke Wilayah Persekutuan ini sama ada dari Lembah Klang atau luar termasuklah pelancong luar negara untuk bersama-sama memeriahkan suasana Ramadan tahun ini.

Justeru itu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjemput dan mengalu-alukan kehadiran semua untuk datang ke Festival Ramadan Putrajaya tahun ini supaya orang ramai dapat merasai sendiri suasana meriah, santai dan unik yang mungkin tidak ada di tempat lain.

WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas