LEBIH 100 warga emas diraikan melalui pemberian bantuan “Bakul Makanan Mesra Kasih Sungai Buloh bersempena menyambut Tahun Baru Cina esok.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan berkata beliau turut mengedarkan buah limau mandarin sebagai simbol kemakmuran dan angpau merah tanda keberkatan.
“Saya memenuhi jemputan Persatuan Kochow Kampung Baru Subang bersama warga emas Parlimen Sungai Buloh sempena Tahun Baru Cina esok.
“Cukup meriah dan saya cukup terharu diatas sambutan yang diberikan,” katanya di Facebook.
Menurut Ramanan, sejak beliau memimpin Parlimen Sungai Buloh, sudah menjadi pegangannya merakyatkan Parlimen itu melalui program-program yang dapat memperkasakan komuniti bagi memperkukuhkan lagi hubungan silaturahim antara satu sama lain.
“Sempena Tahun Baru Cina ini marilah kita sama-sama menyebarkan kasih sayang dan meraikan dalam suasana gembira, ceria bersama seisi keluarga, rakan-rakan dan rakyat Malaysia.
“Semoga Tahun Ular ini akan memberikan kemakmuran, kesejahteraan dan kebahagiaan yang lebih gemilang untuk negara dan rakyat Malaysia,” katanya.
Ramanan menambah kerajaan Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang menggerakkan pelbagai usaha dan inisiatif untuk menjamin harapan rakyat.
Katanya, fokus utama Anwar adalah merakyatkan agenda Madani untuk semua rakyat secara inklusif.
“Gong Xi Fa Chai. Harap semua impian anda menjadi kenyataan,” katanya. – WILAYAHKU