
Lebih 100 pengamal media sertai DBKL Media Walk Hunt 2023
LEBIH 100 pengamal media tempatan daripada pelbagai agensi menyertai pertandingan Media Walk Hunt 2023 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.
DBKL dalam kenyataan memaklumkan penganjuran yang memasuki edisi ke sembilan itu adalah sebagai usaha menghargai sumbangan pengamal media menerusi pelaporan berita mengenai organisasi itu kepada warga kota.
Menurutnya peserta Walk Hunt 2023 yang terdiri daripada 54 pasukan, perlu melalui laluan sejauh tiga kilometer seperti Jalan Sultan Ismail, Jalan Tuanku Abdul Rahman serta Jalan Raja Laut, dan dikehendaki menjawab 25 soalan berkaitan nama bangunan, kedai dan mana-mana papan tanda sedia ada di sepanjang laluan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Kamarulzaman Mat Salleh dalam kenyataan sama menzahirkan penghargaan kepada pengamal media yang sentiasa bertungkus lumus dalam memberikan liputan, publisiti dan hebahan ke atas program yang dilaksanakan DBKL.
“Besar harapan saya agar hubungan akrab yang sedia terjalin di antara pihak media dan DBKL dapat dieratkan bagi membolehkan warga kota mendapatkan maklumat dan hebahan terkini berkaitan inisiatif yang dilaksanakan DBKL,” katanya.
Pada majlis itu juga pasukan daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang diwakili peserta Mohd Fazli Rashidi dan Azhar Marzuki muncul juara keseluruhan pertandingan Media Walk Hunt 2023 dengan membawa pulang hadiah baucar beli-belah bernilai RM1,500. – BERNAMA