Berita

Lebih 100 pengamal media dirai

PENGAMAL media bergambar sebelum sesi pelepasan yang disempurnakan oleh Ismadi (tengah) bertempat di Dataran DBKL.
- Diterbit 24 November 2023 12:30 AM MYT

LAPORAN berita ­positif yang dilaporkan media ­mengenai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ­memperlihatkan ia sebagai sebuah ­organisasi yang mampu ­menguruskan ­pembangunan fizikal dan ­kesejahteraan warga ­kota dengan baik.

Bagi menghargai para pengamal media, DBKL tampil ­meraikannya dalam Program DBKL Bersama Media: Walk Hunt 2023 bertempat di Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut baru-baru ini.

Lebih 100 orang pengamal ­media menyertai acara tahunan edisi ­ke-9 yang telah bermula sejak tahun 2014 itu.

Program yang ­bermula ­seawal pukul 9 pagi itu menyaksikan ­para peserta dilepaskan ­secara ­berkumpulan ­untuk ­menjawab 25 soalan yang tersedia di lokasi yang ­ditentukan ­melibatkan ­laluan sepanjang tiga ­kilometer (km).

Sepanjang program berlangsung, peserta ­juga berpeluang ­menikmati keindahan bandar raya Kuala Lumpur yang ­berlatarbelakangkan kehijauan dan bangunan pencakar langit.

Mereka juga dapat ­menyaksikan inisiatif-inisiatif yang telah ­dilaksanakan oleh DBKL ­bagi ­memastikan bandar raya Kuala Lumpur kekal bersih, indah dan sejahtera.

Sejurus cabaran program ­selesai, para pengamal media ­disajikan ­dengan jamuan ­makan ­tengah hari yang ­dihoskan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr Kamarulzaman Mat Salleh.

Dalam ­ucapannya, ­beliau ­menzahirkan ­rasa ­penghargaan ­kepada ­pengamal ­media yang ­bertungkus lumus ­memberikan liputan, ­publisiti dan hebahan ke atas setiap program dan ­inisiatif DBKL.

MOHD FAZLI

“Besar harapan saya hubungan akrab yang sedia terjalin di antara pihak media dan DBKL ini ­dapat ­dipereratkan bagi membolehkan warga kota mendapat hebahan dan maklumat inisiatif terkini DBKL,” ujar beliau.

Acara kemuncak ­majlis ­menyaksikan sesi penyampaian ­hadiah kepada para pemenang DBKL Walk Hunt 2023, ­pertandingan ­karaoke dan cabutan bertuah.

Pemenang tempat pertama ­program tersebut disandang oleh Kumpulan Netizen dari BERNAMA yang dianggotai oleh Mohd Fazli Rashidi dan Azhar Marzuki.

Sementara itu, Mohd Fazli menyifatkan acara tersebut ­dapat mengeratkan hubungan antara DBKL dan pihak media ­selain ­menerokai keindahan Kuala Lumpur.

“Sesetengah orang tak tahu ­tempat-tempat tersorok yang ada di sini jadi dengan adanya program ini kami dapat menjejakkan kaki ke kawasan tersebut,” ujarnya kepada Wilayahku.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi, Ismadi Sakirin dan ­pengarah-pengarah jabatan ­dalaman DBKL. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas