Berita

Lebih 1.9 juta kenderaan dijangka menggunakan Lebuhraya KLK sempena Aidilfitri

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 5 April 2024 6:50 PM MYT

LEBIH 1.9 juta kenderaan dijangka menggunakan Lebuhraya KL-Karak (KLK) dan 882,000 kenderaan menggunakan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1), bagi tempoh 11 hari bermula hari ini.

Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad Datin Radzimah Mohd Radzi dalam kenyataan di sini memaklumkan, peningkatan jumlah kenderaan di KLK itu melebihi 60 peratus, manakala di LPT1 peningkatan melebihi 100 peratus semasa hari puncak cuti hari raya, berbanding purata trafik harian.

“Dijangka kedua-dua Plaza Tol Gombak dan Plaza Tol Bentong akan mengalami kepadatan trafik yang tinggi, begitu juga di Lebuhraya LPT1, iaitu di Plaza Tol Karak.

“ANIH Berhad telah mengambil langkah proaktif dengan menyusun rancangan operasi yang strategik demi memastikan kelancaran lalu lintas, terutamanya di zon yang menjadi tumpuan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Jadual Cadangan Perjalanan (TTA) bagi tempoh 6 hingga 7 April dan 13 hingga 14 April, telah dimuat naik di saluran media sosial serta laman sesawang ANIH Berhad, untuk persiapan dan panduan pengguna lebuh raya untuk pulang ke kampung atau bercuti sempena Aidilfitri.

Radzimah berkata beberapa langkah telah diambil, bagi memastikan kelancaran perjalanan pengguna, antaranya penambahan kakitangan 23 peratus, iaitu lebih 400 kakitangan tol akan bertugas pada waktu puncak serta pengaktifan lorong tol tambahan.

Beliau berkata bagi mengoptimumkan pengurusan trafik di plaza tol, Kawasan Rehat & Rawat (R&R), dan hentian sebelah, seramai 217 ahli Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), akan ditempatkan di kawasan-kawasan strategik terutamanya di waktu puncak, selain penambahan 147 kakitangan bahagian trafik bagi pemantauan, rondaan, bantuan kecemasan dan kemalangan kepada pengguna lebuh raya.

Radzimah berkata ANIH Berhad juga melaksanakan lane channelisation di Plaza Tol Gombak arah Barat untuk perjalanan ke Kuala Lumpur, bertujuan untuk menyuraikan trafik dan mengelakkan kesesakan bagi pengguna yang menuju ke arah Ampang dan Batu Caves.

“Pengguna lebuh raya diingatkan supaya memberi keutamaan kepada keselamatan dan mengamalkan pemanduan yang berhemah. Gunakan Kawasan R&R atau hentian sebelah jika perlu.

“Patuhi tanda jalan, had laju dan arahan daripada petugas lebuh raya. Pastikan juga baki e-dompet dan kad Touch & Go sentiasa mencukupi. Rancanglah perjalanan sebaik mungkin demi keselesaan dan keselamatan semua,” katanya.

Pengguna boleh mendapatkan informasi terkini menerusi media sosial ANIH Berhad di Facebook @Lebuhraya Pantai Timur dan X @LPTTrafik, serta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) @llmtrafik dan sekiranya berlaku kecemasan, boleh hubungi LPT-Line di 1-700-818-700 atau talian LLM di 1800-88-7752. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas