DALAM era media sosial masa kini, insiden kecil sering diperbesarkan untuk mencipta persepsi negatif terhadap pemimpin.
Demikian jelas penganalisis politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff mengenai spekulasi dicetuskan pihak tidak bertanggungjawab yang menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal menjawab kuiz sejarah oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin ketika lawatan ke negara itu baru-baru ini.
Menurutnya ia kelihatan seperti naratif yang disensasikan, mungkin bertujuan untuk mengalihkan perhatian daripada objektif utama lawatan.
“Spekulasi seperti ini sering muncul dalam media sosial atau saluran berita tertentu untuk mencetuskan kontroversi. Jika benar, kegagalan menjawab soalan kuiz sejarah adalah isu kecil dan tidak sepatutnya mengaburkan matlamat strategik lawatan, seperti memperkukuh hubungan dua hala dan meneroka peluang ekonomi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dari segi konteks geopolitik, lawatan ke Rusia adalah langkah diplomatik yang kompleks, dan tumpuan terhadap isu seperti kuiz sejarah boleh dilihat sebagai percubaan untuk mengalihkan perhatian daripada isu yang lebih besar.
“Seperti isu MH17 atau hubungan Malaysia dengan BRICS, Malaysia perlu kekal fokus pada naratif yang membina, seperti manfaat ekonomi dan strategik daripada lawatan ini.
“Dari segi reaksi awam, walaupun sesetengah pihak mungkin memandang negatif langkah Anwar ke Rusia, terutamanya dalam konteks MH17, sokongan daripada segelintir rakyat Malaysia di media sosial menunjukkan bahawa ada yang menghargai usaha beliau untuk meningkatkan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa.
“Sebagai kesimpulan, sensasi seperti ini adalah perkara biasa dalam politik antarabangsa dan sering digunakan untuk menjejaskan imej pemimpin,” katanya.
Tegas Syed Agil Malaysia perlu terus menekankan naratif positif tentang lawatan ini, seperti potensi kerjasama ekonomi dan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, sambil menangani kritikan dengan telus dan diplomatik.
“Lawatan beliau ke Rusia adalah sebahagian daripada strategi Malaysia untuk mengekalkan autonomi strategik dan mempelbagaikan hubungan antarabangsa di tengah-tengah dunia yang semakin terpolarisasi.
“Walaupun terdapat cabaran seperti isu MH17 dan persepsi negatif daripada sesetengah pihak, langkah ini menunjukkan kesediaan Malaysia untuk merintis peluang baharu tanpa hanya menunggu peluang daripada kuasa besar.
“Kejayaan strategi ini bergantung pada keupayaan Malaysia untuk mengimbangi hubungan dengan semua pihak dan memastikan manfaat jangka panjang untuk rakyatnya,” katanya.
Tambah Syed Agil lawatan tersebut perlu dilihat dalam konteks lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia pada April lalu, yang menyaksikan 31 perjanjian dalam pelbagai bidang seperti perdagangan, pelancongan, pengangkutan kereta api dan pertanian.
“Ia merupakan rentetan kepada seruan Presiden Xi supaya negara-negara Asia bersatu menentang konfrontasi geopolitik, ekonomi global sambil memperkukuh hubungan dengan rakan-rakan serantau seperti Malaysia di tengah-tengah ketegangan dengan Amerika Syarikat (AS).
“Konteks lawatan Anwar ke Rusia mencerminkan dasar ‘equidistant diplomacy’ Malaysia, yang bertujuan mengekalkan hubungan seimbang dengan kuasa besar seperti China, Rusia dan Amerika Syarikat, tanpa memihak kepada mana-mana blok geopolitik.
“Ini adalah sebahagian daripada strategi Malaysia untuk mengekalkan autonomi strategik di tengah-tengah persaingan kuasa besar, terutamanya antara AS dan China,” katanya.
Jelas beliau lawatan ini juga selari dengan usaha Malaysia untuk menyertai BRICS, sebuah langkah yang dilihat sebagai cubaan untuk mendiversifikasi hubungan ekonomi dan politik dengan kuasa-kuasa baru seperti China dan Rusia sambil mengelakkan pergantungan berlebihan kepada satu kuasa. – WILAYAHKU