Berita

Lawatan PM ke Rusia: Malaysia jambatan ekonomi

ANWAR dan delegasi Malaysia ketika sesi meja bulat bersama pemain utama industri Rusia.
- Diterbit 24 Mei 2025 12:45 AM MYT

IMPAK lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia bukan sekadar simbolik tetapi meletakkan asas baharu bagi hubungan ekonomi dua hala yang lebih mendalam, tersusun dan berpandangan jauh.

Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa Dewan Rakyat, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata ia sekali gus menjadikan Malaysia sebagai jambatan ekonomi di antara ASEAN dan Rusia.

“Ia mencerminkan prinsip dasar luar Malaysia yang berprinsip, pragmatik dan terbuka kepada pelbagai kutub ekonomi dunia termasuk Rusia sebagai rakan bukan tradisional.

ANDI MUHAMMAD

“Fokus kita ialah meluaskan akses pasaran, menarik pelaburan berkualiti dan membina jaringan dagang baharu yang lebih tahan uji dalam ekonomi global pasca pandemik dan pasca konflik.

“Kita bukan sahaja membuka pasaran baharu, tetapi juga memimpin dalam bidang halal, pertanian strategik dan ekonomi digital dengan rakan seperti Rusia yang sudah pasti memberi impak positif kepada perkembangan ekonomi Malaysia dan juga rakyat secara langsung,” katanya kepada Wilayahku.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kalabakan memberitahu sepanjang lawatan ke Rusia, Perdana Menteri telah mengadakan pertemuan strategik dengan 24 syarikat utama Rusia seperti Oil Partners, Sportmaster dan Russian Direct Investment Fund (RDIF) dan dua majlis perniagaan dari Rusia yang menyatakan minat untuk mengetahui lebih lanjut tentang iklim perdagangan, dasar pelaburan dan insentif di Malaysia serta melebarkan operasi di negara ini.

Ini katanya mencerminkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap kestabilan politik dan prospek ekonomi jangka panjang Malaysia.

“Malah ia membuka peluang kepaa perkongsian teknologi, penyelidikan dan pemindahan kepakaran khususnya dalam sektor pembuatan makanan, pertanian, teknologi, perkhidmatan logistik, pembangunan hartanah dan sektor kewangan.

“Hal ini akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN oleh pelabur Rusia,” katanya.

Dalam perkembangan sama katanya Presiden Vladimir Putin sendiri menyatakan komitmen terbuka untuk memperluas jaringan halal serta mengkaji lebih mendalam aspek perbankan dan kewangan Islam di Rusia.

Untuk itu jelasnya Malaysia sebagai peneraju standard halal global mempunyai kelebihan strategik untuk menjadi pusat rujukan halal dan kewangan patuh syariah bagi Rusia.

“Ini sangat signifikan memandangkan populasi umat Islam di Moscow sahaja dianggarkan sekitar 1.5 hingga dua juta orang. Ini merupakan pasaran baharu yang boleh diterokai oleh Malaysia di Rusia,” katanya.

Selain itu beliau menegaskan bahawa beberapa sektor berimpak tinggi diberi penekanan dalam perbincangan dua hala, termasuk industri kimia dan petrokimia; perabot dan peruncitan eksport; infrastruktur digital; kecerdasan buatan (AI) dan teknologi masa hadapan.

“Sehubungan itu, Malaysia berpotensi menjadi hab pelaburan teknologi dari Rusia ke ASEAN, khususnya dalam sektor ekonomi digital dan inovasi,” katanya. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas