Berita

Lawatan PM ke Rusia: Landasan tepat bersahabat dengan kuasa besar

- Diterbit 24 Mei 2025 1:13 AM MYT

JALINAN dua hala melibatkan Rusia sempena lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu baru-baru ini menunjukkan Malaysia berada pada landasan yang betul.

Profesor Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Dr Mohd Mizan Aslam berkata hal demikian kerana bukan mudah untuk negara kecil seperti Malaysia bersahabat dengan kuasa besar.

Untuk itu jelasnya layanan baik Presiden Rusia, Vladimir Putin jelas menunjukkan kehadiran Perdana Menteri diterima baik pemimpin kuasa besar berkenaan.

MOHD MIZAN

“Malaysia bersikap neutral dan akan bekerjasama dengan pihak yang dirasakan dapat memberikan keuntungan terutama dari sudut ekonomi dan perdagangan. Kita tidak menyebelahi mana-mana kuasa besar, sebaliknya akan bersama dengan pihak yang dapat memberi pulangan keuntungan.

“Itu yang menjadi keutamaan Kerajaan MADANI hari ini. Dari pertemuan Perdana Menteri bersama Putin baru-baru ini, kita dapat melihat bagaimana Anwar mampu mengawal susana dan bermesra dengan pemimpin yang dianggap sangat hebat dari kuasa besar,” katanya.

Mengulas potensi luas dalam sektor pendidikan, keselamatan makanan, teknologi siber, tenaga dan pertahanan, beliau melihat ia sebagai satu langkah yang sangat positif.

Katanya tindakan Perdana Menteri yang menggesa syarikat penerbangan Rusia, Aeroflot, menyambung semula penerbangan terus ke Kuala Lumpur dilihat sebagai langkah yang sangat bertepatan.

“Saya sangat berbesar hati dengan tindakan kerajaan menggesa Rusia menyambung kembali perkhidmatan Aeroflot yang telah dibincangkan dalam lawatan Perdana Menteri baru-baru ini.

“Aeroflot merupakan salah satu penerbangan terbesar dunia yang terbang ke banyak negara tetapi tidak ke negara kita, sedangkan potensinya cukup besar di rantau timur. Peluang itu harus digunakan untuk kebaikan negara.

“Berkaitan kerjasama pertahanan, Malaysia perlu mempunyai alternatif pemilikan aset pertahanan supaya tidak terlalu bergantung kepada Eropah dan Amerika Syarikat (AS). Menerusi Rusia, kita dapat menghantar angkasawan kerana pembelian pesawat pejuang Sukhoi, pakej sama tidak ditawarkan Barat kerana mereka memberi kelebihan kepada negara lain,” katanya.

Masyarakat dunia jelas Mohd Mizan sudah dimomokkan dengan naratif negatif ditanam Barat terhadap Rusia sebagai negara komunis dan jahat.

Sedangkan katanya Rusia jauh lebih aman dan mesra terhadap orang luar berbanding Barat yang sering terkait dengan isu Islamofobia dan Xenofobia.

“Keterbukaan Putin terhadap Malaysia dan negara Islam amat berbeza dengan Barat, ia dapat dilihat dengan kewujudan beberapa republik Islam seperti Tatarstan dan Chechen.

“Keadaan itu tidak ada di AS mahupun Eropah, mereka hanya ada kawasan yang sangat kecil tetapi tidak bersifat negeri sebagaimana Rusia termasuk mempunyai gabenor dan mufti, itu jelas menunjukkan republik Islam mereka disokong kerajaan Rusia. Isu Islamofobia dan Xenofobia di Rusia juga rendah atau hampir tidak ada jika kita bandingkan dengan negara Barat,” katanya.

Sementara itu beliau juga melihat lawatan Perdana Menteri tidak akan memberi kesan terhadap konflik Rusia-Ukraine kerana Malaysia berada pada kedudukan berbeza.

“Lawatan Perdana Menteri turut memberi signal bahawa kita inginkan perdamaian dan berharap konflik itu dapat ditamatkan. Walaupun Malaysia hanya sebuah kuasa kecil tetapi tidak mustahil boleh menjadi pengantara untuk menyelesaikan konflik tersebut,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas