Berita

Lawatan PM ke Rusia: Bukan sekadar laluan Moscow-KL

PERTEMUAN Anwar dan Putin di Moscow membuka lembaran baharu.
- Diterbit 24 Mei 2025 12:55 AM MYT

CADANGAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pembukaan semula laluan penerbangan terus Moscow-Kuala Lumpur disifatkan sebagai langkah strategik yang bukan sahaja menggalakkan kemasukan pelancong, malah mampu membuka lembaran baharu dalam kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

Ini turut melibatkan pembangunan dalam sektor teknologi, agrikomoditi dan pelancongan halal.

AHMED RAZMAN

Menurut Pengarah Program MBA di Putra Business School, Profesor Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, inisiatif ini berpotensi membawa impak besar kepada ekonomi negara jika digembleng secara bersepadu dengan pelbagai kementerian dan agensi pelaburan.

“Kita tidak boleh hanya melihat laluan udara ini dari sudut pelancongan semata-mata. Ia sebenarnya adalah pintu masuk kepada hubungan ekonomi yang lebih mendalam dengan Rusia dan negara-negara Komanwel Bekas Soviet (CIS),” jelas beliau ketika dihubungi Wilayahku.

Ahmed Razman berkata walaupun pelancong Rusia secara tradisinya tidak tergolong dalam kumpulan pembelanja tinggi seperti pelancong dari Eropah Barat atau China, kehadiran mereka tetap signifikan untuk menambah jumlah ketibaan pelancong ke Malaysia.

“Jumlah pelancong yang tinggi secara langsung memberi manfaat kepada sektor perhotelan, pengangkutan, makanan dan runcit, terutamanya di lokasi pelancongan popular seperti Langkawi, Pulau Pinang dan Sabah,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Ahmed Razman menyifatkan Malaysia berada pada kedudukan yang sangat strategik untuk menawarkan produk dan pengalaman pelancongan halal kepada pelancong Muslim dari Rusia dan rantau CIS yang kini menunjukkan minat yang meningkat terhadap gaya hidup Islamik.

“Negara kita bukan sahaja mempunyai infrastruktur pelancongan yang mesra Muslim, malah didukung oleh jenama halal yang diiktiraf di peringkat global. Ini adalah aset yang boleh digunakan untuk menembusi pasaran baharu seperti Kazakhstan, Uzbekistan, Azerbaijan dan Rusia sendiri,” katanya.

Tambah beliau, dengan pendekatan diplomatik dan promosi yang betul, Malaysia boleh memasarkan dirinya sebagai destinasi pelancongan halal utama Asia Tenggara untuk pelancong dari rantau tersebut yang dahagakan pengalaman Islamik yang tulen, selesa dan berkelas dunia.

Ahmed Razman berkata bukan sekadar pelancongan, pembukaan laluan ini juga membuka potensi besar kepada kolaborasi dua hala dalam bidang teknologi dan agrikomoditi.

“Rusia merupakan antara negara yang maju dalam bidang teknologi pertanian dan pemprosesan makanan. Malaysia boleh mendapat manfaat besar sekiranya berlaku pemindahan teknologi melalui pelaburan langsung asing (FDI) atau kerjasama strategik antara syarikat,” katanya.

Beliau mencadangkan agar Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengambil inisiatif segera untuk menyusun misi pelaburan khusus ke Rusia bagi menilai potensi kerjasama industri. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas