Oleh AINI MAWAWI, AZLAN ZAMBRY & METRA SYAHRIL MOHAMED
LAWATAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke empat buah negara iaitu Mesir, China, Peru dan Brazil dilihat memberi impak yang sangat positif kepada Malaysia khususnya dalam sektor ekonomi.
Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata keempat-empat negara ini mempunyai kekuatan ekonomi yang Malaysia perlukan selain kaya dengan sumber-sumber di mana Malaysia tidak mempunyai sumber tersebut.
“China merupakan gergasi ekonomi dunia yang sekarang ini telah menunjukkan prestasi yang sangat mengagumkan khususnya dalam perdagangan antarabangsa. Manakala Lima di Peru merupakan kota yang terletak di benua Latin Amerika antara yang mencatatkan pertumbuhan ekonomi terbaik.
“Lima dan Rio de Janeiro juga adalah pusat pelancongan yang strategik di Amerika Latin, kaya dengan peninggalan sejarah yang mungkin boleh mengambil manfaat dalam konteks sektor pelancongan. Lima antara ibu kota terbesar Brazil selepas Sao Paulo.
“Peru pula sebuah negara yang kaya dengan sumber asli dalam sektor perlombongan dan Malaysia boleh memanfaatkan sektor ini dan menjangkakan lebih banyak kerjasama pemain-pemain industri perlombongan antara dua negara. Dalam konteks Malaysia, Sabah dan Sarawak dijangka mendapat manfaat yang banyak dalam sektor perlombongan hasil daripada lawatan ini,” katanya ketika dihubungi Wilayahku pada Selasa.
Menjelas lanjut, Kasim yang juga Pakar Kewangan Antarabangsa berkata antara sektor ekonomi utama Malaysia yang dijangka mendapat manfaat daripada peningkatan pelaburan asing hasil lawatan tersebut termasuklah sektor industri halal, semikonduktor, perdagangan dan pelaburan antarabangsa, tenaga hijau dan kelestarian.
“Misalnya lawatan ke Brazil, menekankan potensi besar dalam memperkukuhkan industri halal. Diskusi dua hala di Brazil termasuk promosi sektor ini sebagai salah satu peluang strategik untuk pelaburan dan perdagangan antarabangsa.
“Sektor semikonduktor juga menjadi fokus dalam perbincangan dengan pemain industri di Brazil. Peluang pelaburan dalam teknologi ini selaras dengan agenda Malaysia untuk menjadi pemain utama dalam rantaian bekalan global semikonduktor,” katanya.
Katanya, lawatan ke China dan Kaherah dilihat memanfaatkan hubungan diplomatik yang kukuh untuk meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) terutama dalam sektor pembinaan infrastruktur dan teknologi hijau.
“Dalam lawatan ke Sidang Kemuncak G20 di Brazil, tema utama adalah pembangunan mampan. Ini termasuk peluang pelaburan dalam tenaga bersih, sejajar dengan komitmen global Malaysia terhadap perubahan iklim dan kelestarian ekonomi,” katanya.
Menurut Kasim, Malaysia memiliki potensi yang signifikan untuk menarik pelaburan jangka panjang dalam industri seperti semikonduktor, aeroangkasa dan kenderaan elektrik (EV) berdasarkan beberapa faktor utama.
“Antaranya adalah disebabkan Malaysia sudah menjadi pemain utama dalam rantaian bekalan global semikonduktor dan menyumbang hampir 13 peratus kepada perdagangan global sektor ini selain zon perindustrian seperti di Pulau Pinang dan Kulim telah menarik pelaburan besar daripada syarikat multinasional terkemuka.
“Kerajaan terus memperkukuh insentif, termasuk Elaun Cukai Pelaburan dan Elaun Modal untuk mendorong pelaburan berteknologi tinggi. Faktor kekuatan dan daya tarikan yang tersedia ada di Malaysia menjadi pemangkin kepada hubungan dengan negara-negara yang dilawati. Malaysia memiliki infrastruktur yang maju dan ekosistem sokongan industri yang mantap, bekalan tenaga kerja mahir melalui program kerjasama pendidikan dengan institusi seperti MIDA dan universiti teknikal serta hubungan diplomatik kukuh yang membuka peluang perjanjian perdagangan,” katanya.
Tambah beliau, sektor aeroangkasa Malaysia juga berkembang pesat dan ia didorong oleh Pelan Tindakan Aeroangkasa Malaysia 2030, yang bertujuan menjadikan negara ini sebagai hab aeroangkasa serantau termasuk pelaburan sedia ada daripada syarikat seperti Airbus dan Rolls-Royce telah menonjolkan keupayaan Malaysia untuk menyokong pengilangan komponen dan penyelenggaraan, pembaikan serta baik pulih (MRO).
Selain itu, Kerajaan MADANI juga giat mempromosikan sektor EV melalui insentif cukai seperti pengecualian cukai jualan dan import untuk EV sepenuhnya sehingga 2025.
“Dengan sokongan Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon, pelaburan dalam stesen pengecasan dan pembuatan bateri telah meningkat selain permintaan pengguna yang semakin meningkat terhadap EV serta sokongan kerajaan melalui pelaburan infrastruktur dan dasar mesra alam serta potensi Malaysia sebagai hab serantau untuk eksport EV ke ASEAN dan seterusnya,” katanya.
Sementara itu, Kasim berkata penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak APEC mempunyai potensi besar untuk meningkatkan hubungan ekonomi dengan negara anggota lain melalui beberapa aspek utama terutamanya dalam perdagangan dan pelaburan.
“APEC, dengan 21 negara anggota, menyumbang lebih 60 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) global dan hampir separuh daripada perdagangan dunia. Penyertaan Malaysia menawarkan peluang untuk Penghapusan Halangan Perdagangan yang bertujuan mengurangkan tarif dan mempromosikan perdagangan bebas sekali gus menguntungkan eksport utama Malaysia seperti elektronik, kelapa sawit dan produk perkilangan.
“Malaysia juga dapat mengakses pasaran yang lebih luas, terutamanya di Amerika Latin dan Pasifik yang menawarkan potensi besar untuk barangan seperti produk halal dan teknologi hijau,” katanya. – WILAYAHKU

