Berita

Laungan ‘Bebaskan Palestin’ bergema di Bukit Jalil

- Diterbit 4 Ogos 2024 11:15 PM MYT

PESERTA Himpunan Pembebasan Palestin mula membanjiri Axiata Arena, Bukit Jalil seawal pukul 4 petang bagi menyatakan solidariti mereka ke atas kekejaman Israel.

Mengenakan pakaian serba putih, laungan ‘Bebaskan Palestin’ dan ‘Israel Bacul’ turut bergema di sekitar Axiata Arena.

Peserta himpunan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang politik turut hadir membawa dan mengibarkan bendera Palestin dan Jalur Gemilang.

Ada juga yang membawa sepanduk tertera kata-kata sokongan dan doa buat mereka yang terkesan situasi di Gaza.

Himpunan itu antara lain bagi menyampaikan mesej kepada dunia bahawa Malaysia mengutuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh, sekali gus menentang kekejaman rejim Zionis yang tidak berkesudahan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan pidato pada acara kemuncak himpunan untuk menyatakan sokongan terhadap perjuangan Palestin, bersama-sama beberapa pemimpin lain.

Antara program yang diatur ialah Pidato Solidariti Palestin, solat maghrib berjemaah, sesi tayangan video khas dan diakhiri dengan doa Qunut Nazilah.

Pada 24 Oktober tahun lepas, Himpunan Malaysia Bersama Palestin diadakan di Axiata Arena yang menghimpunkan pemimpin politik Kerajaan Perpaduan dan pembangkang bagi menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin.

Lebih 15,000 rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai latar belakang, agama dan bangsa telah menghadiri himpunan itu bagi menyampaikan mesej kepada dunia dan menunjukkan solidariti terhadap Palestin. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas