PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan laporan polis terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Mahiaddin Md Yassin dibuat oleh Istana Pahang.
Beliau menegaskan tidak campur tangan siasatan ke atas Mahiaddin.
“Laporan dibuat oleh Istana Pahang jadi tak usah dia pusing dia tahu, cuma dia nak main politik…isu ini diangkat Istana Pahang,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Perasmian dan Pecah Tanah Residensi Suria Madani di Taman Desa.
Pada 19 Ogos, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan rasa amat terkilan atas tindakan Mahiaddin berkenaan yang secara sengaja memperlekeh peranan Sultan Pahang ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Mahiaddin yang juga bekas Perdana Menteri didakwa di Mahkamah Sesyen Gua Musang, atas tuduhan mengeluarkan perkataan menghasut ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di sini, pada 14 Ogos lalu.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan semua pihak termasuk pembangkang tidak mempersoalkan siasatan terhadap Mahiaddin di bawah Akta Hasutan.
Beliau berkata, pihak yang terlanjur dalam ucapan termasuk Mahiaddin perlu menanggungnya dan tidak menjadikan ia isu untuk kepentingan politik.
“Kamu melanggar peraturan dan kamu telah terlanjur maka kamu kena hadapinya,” katanya. – WILAYAHKU