Berita

Lapan individu ditahan terlibat perhimpunan LGBTQ – Polis

- Diterbit 31 Julai 2023 2:16 PM MYT

POLIS menahan lapan individu yang menyertai perhimpunan berkaitan hak-hak LGBTQ (lesbian, gay, biseksual, transgender dan kelompok yang mempersoal identiti seksual diri) di pekarangan kompleks beli-belah SOGO di sini pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata kesemua yang ditahan itu berumur lingkungan 18 hingga 56 tahun.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati mereka ialah ahli ‘The Ahmadi religion of peace and light’ (The Ahmadi) yang berfahaman hukuman ke atas manusia hanya boleh dijatuhkan oleh Tuhan.

“Kebanyakan individu yang ditahan telah menyertai kumpulan ini hampir dua tahun. Seorang daripada yang ditahan juga didapati melakukan kesalahan pada awal bulan lepas di Masjid Putrajaya kerana mengedarkan risalah The Ahmadi.

Mengulas sama ada The Ahmadi itu satu bentuk pemujaan (cult), beliau berkata perkara itu perlu dirujuk kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Kuala Lumpur (JAWI) bagi menentukan sama ada ajaran itu telah diharamkan.

Menurutnya JAWI telah membuka kertas siasatan untuk melihat isu berkenaan secara terperinci dalam konteks agama dan sebagainya.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955, dan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata polis menerima 13 laporan polis berkaitan kes penipuan skim pelaburan Personal Banc melibatkan kerugian lebih RM8 juta bagi tempoh Februari lepas hingga Julai.

Beliau berkata pelabur dalam skim berkenaan telah membuat laporan polis selepas mereka gagal menerima pulangan dijanjikan.

“Siasatan yang dijalankan mendapati kebanyakan pelabur mengetahui mengenai skim tersebut di media sosial. Antara kerugian terendah ditanggung pelabur ialah RM50,000, manakala kerugian tertinggi untuk satu pelabur sebanyak RM3.25 juta.

“Kesemua 13 laporan ini ialah di Brickfield iaitu satu laporan dengan kerugian RM250,000, tiga di Cheras (RM800,000), lima di Sentul (RM4.1 juta), satu di Putrajaya (RM331,000) dan tiga di Wangsa Maju (RM2.9 juta).

Beliau berkata skim pelaburan itu dianjurkan Syarikat Personal Banc Berhad yang menawarkan dividen 20 hingga 30 peratus sebulan bagi setiap pelaburan pokok.

Menurutnya siasatan bagi kes itu masih berjalan dan sindiket bagi skim tersebut dipercayai berpangkalan dalam negara.

“Tangkapan belum ada lagi, bagaimanapun suspek telah dikenal pasti dan polis sedang menunggu beberapa laporan pakar bank dan sebagainya untuk mengesahkan perkara itu.

“Kita akan buat tangkapan apabila maklumat dan bukti cukup, kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas