Berita

Lapan barangan disita

OPERASI yang dijalankan oleh DBKL baru-baru ini.
- Diterbit 30 Ogos 2024 10:20 AM MYT

SEBANYAK lapan barangan perniagaan telah dikenakan tindakan sita menerusi Tindakan Khas Pindah Halangan yang diadakan baru-baru ini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata tindakan khas tersebut dilakukan di sekitar Taman Danau Desa, Seputeh dan Jalan Pantai Dalam, Lembah Pantai.

“Dalam operasi tersebut, sebanyak lapan barangan perniagaan telah dikenakan tindakan sita serta-merta di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (dua Parlimen Seputeh dan enam Parlimen Lembah Pantai).

“Kesemua barangan yang diambil tindakan telah dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, Kuala Lumpur untuk tindakan rekod dan dokumentasi,” katanya menerusi hantaran di laman rasminya.

Tambahnya, tindakan khas itu dijalankan oleh DBKL melalui Jabatan Penguatkuasaan bersama Pejabat Cawangan Seputeh dan Pejabat Cawangan Lembah Pantai.

Sementara itu, DBKL turut menjalankan Operasi Bersepadu (Operasi Pindah Halangan dan Roboh Struktur) di sekitar Jalan Raja Alang, Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 26 Ogos 2024 (Isnin).

“Hasil daripada operasi yang dijalankan, DBKL telah merobohkan struktur binaan yang dibina di atas tempat awam. Tindakan telah diambil di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

“Kesemua sisa struktur telah dilupuskan oleh DBKL selepas tamat operasi yang dijalankan,” ujarnya.

Jelasnya, operasi tersebut dijalankan oleh DBKL Jabatan Penguatkuasaan bersama Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar, Pejabat Cawangan Titiwangsa serta Polis Diraja Malaysia.

DBKL berkata pihaknya akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti.

“Sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di pautan tertera seperti berikut https://adukl.dbkl.gov.my/,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas