Berita

Lantik Thaksin mampu bantu tangani isu serantau

Anwar ketika mengadakan pertemuan dengan Thaksin baru-baru ini.
- Diterbit 6 Januari 2025 4:48 PM MYT

KECOH baru-baru ini dalam kalangan netizen apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai penasihat tidak rasmi kepada Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Segelintir netizen yang menuduh Anwar tidak ada idea bernas kerana melantik bekas banduan itu yang turut menjadi penasihat peribadinya.

Dakwa mereka, lebih ramai yang layak memegang jawatan itu berbanding Thaksin. Katanya, Thaksin bawa imej negatif kerana pernah dipenjarakan berhubung isu rasuah, sekali gus bertentangan dengan prinsip Anwar yang memerangi rasuah.

Sebenarnya, Anwar sudah memikirkan yang terbaik buat negara kita sebelum mengambil keputusan melantik Thaksin.

Pelantikan Thaksin sebagai penasihat tidak rasmi kepada Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 merupakan salah satu usaha melonjak ekonomi dan perkembangan teknologi baharu.

Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, pelantikan Thaksin juga bertujuan merintis usaha damai di selatan Thailand dan merungkai krisis di Myanmar yang masih meruncing sehingga kini.

“Kepakaran dan jaringan perhubungan meluas yang dimiliki di rantau ini, membolehkan beliau memainkan peranan dan membuka peluang penting buat Malaysia dan ASEAN bagi berdepan cabaran ini dengan penuh yakin dan berkesan.

“Saya dan Thaksin turut bertukar pandangan terkait usaha memperkukuh hubungan persahabatan Malaysia-Thailand dan selaras visi dan persefahaman seperti mana yang saya kongsikan bersama Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra.

“Kami berkongsi kepercayaan yang sama sejak puluhan tahun lalu, bahawa Malaysia dan Thailand berupaya mencipta pelbagai kejayaan bersama untuk kedua-dua negara dan rantau ini. Insya-Allah, saya dan Thaksin komited untuk merealisasikan hasrat ini,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Anwar ketika mengumumkan pelantikan Thaksin pada 16 Disember lalu menjelaskan, Malaysia memerlukan negarawan seperti Thaksin untuk berkongsi kepakaran serta idea kepada Kepengerusian ASEAN berkenaan isu serantau.

“Saya bersetuju untuk melantik Thaksin sebagai penasihat peribadi saya, membantu Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bersama pasukan dari negara ASEAN dalam kerangka tidak rasmi.

“Terima kasih kerana Thaksin bersetuju, kerana kita memerlukan manfaat daripada pengalaman seorang negarawan seperti beliau,” ujarnya.

Bukan itu sahaja, menurut pemimpin Parti Keadilan Rakyat Perak, Abul Jais Ashfaq Ahmed, tindakan Anwar melantik Thaksin meskipun mungkin dipandang skeptikal oleh sesetengah pihak, ia sebenarnya mencerminkan pendekatan pragmatik dan inklusif Anwar terhadap isu-isu serantau yang memerlukan kerjasama melangkaui batas sempadan geografi 10 buah negara anggota.

“Thaksin, yang pernah menjadi Perdana Menteri Thailand, diakui mempunyai pengalaman luas dalam diplomasi serta ekonomi Asia Tenggara, dianggap sebagai individu yang berwibawa untuk memberikan pandangan strategik yang bernilai kepada ASEAN.

“Dalam konteks Kepengerusian ASEAN, penglibatan tokoh seperti Thaksin dapat membantu memperkukuh kerjasama antara negara-negara anggota ASEAN, khususnya dalam menghadapi cabaran serantau yang semakin kompleks, termasuk isu-isu perdagangan, pelaburan, keselamatan rentas sempadan dan kesan perubahan iklim.

“Biarpun Thaksin mempunyai isu domestik ketika menjadi Perdana Menteri negara Gajah Putih itu, ia sudah menjadi sejarah negara berkenaan seperti mana yang dialami Anwar yang berjuang sejak 1998 hingga menjadi Perdana Menteri pada November 2022.

“Ramai yang tidak mengetahui kedua-dua pemimpin itu sudah pun menjalin hubungan diplomatik dan peribadi ketika Thaksin dan Anwar dijemput Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhyono atau SBY pada peluncuran Jurnal Penilaian Strategik di Jakarta pada Julai 2012,” katanya.  – WILAYAHKU

[Iklan]

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas